Lima lelaki cuba seludup diesel direman - Utusan Malaysia

Lima lelaki cuba seludup diesel direman

SUSPEK dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Kota Bharu, Kelantan hari ini.-IHSAN KPDNHEP KELANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Lima lelaki berjaya diberkas anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa selepas dipercayai cuba menyeludup bahan api subsidi ke negara jiran direman selama empat hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga Isnin itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani di Mahkamah Majistret Kota Bharu, di sini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan Aswadi Jaafar berkata, permohonan reman itu bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, kesemua lelaki itu berusia antara 30 hingga 40 tahun itu dicekup anggota PGA di pangkalan haram Tulang, Pengkalan Kubor, Tumpat semalam.

“Kesemua mereka ini menerusi penugasan Op Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini oleh Batalion 8 PGA dalam usaha mencegah aktiviti penyeludupan.

“Semasa serbuan dilakukan kesemua lelaki berkenaan sedang menyedut minyak diesel daripada tangki kenderaan ke dalam tong-tong plastik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aswadi memberitahu, kesemua lelaki itu didapati menyedut bahan api itu mengunakan hos getah dan pam penyedut minyak daripada empat buah lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut oleh anggota PGA telah menjumpai 150 liter diesel dan merampas lima buah kenderaan yang digunakan untuk penyeludupan.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM430,372.50. KPDNHEP Kelantan akan merujuk kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan di Mahkamah,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN