Lima beranak terperangkap banjir luar biasa

Lima beranak terperangkap banjir luar biasa

ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja menyelamat sebuah keluarga di Kampung Semanggar Dalam, Kota Tinggi, Johor yang terperangkap selepas rumah mereka dilanda banjir luar biasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sebuah keluarga di Kampung Semanggar Dalam di sini, berdepan detik cemas apabila rumah mereka dimasuki air deras selepas dipercayai berlaku fenomena ‘kepala air‘ dari sungai berhampiran kediaman mereka, kelmarin.

Mohd. Firdaus Talib, 29, berkata, kejadian kira-kira pukul 4 petang itu menyebabkan dia dan ibu serta tiga anak saudaranya tidak berani meredah air deras untuk menyelamatkan diri.

“Ketika itu cuaca hujan lebat. Biasanya memang rumah kami ini banjir apabila hujan lebat berterusan. Tetapi kali ini banjir berlaku agak luar biasa kerana sampai perlu panggil pasukan bomba.

“Memang kami risau sebab saya bersama emak yang sudah berusia manakala anak saudara pula masih kecil berusia sembilan, 10 dan 13 tahun. Biasanya kami hanya berjalan kaki untuk menyelamatkan diri tetapi kejadian kali ini memang luar biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Firdaus berkata, setiap tahun kampung mereka mengalami banjir bahkan setiap kali banjir lebih 10 buah rumah penduduk terjejas.

Namun berbeza kali ini kerana hanya kediaman mereka yang terjejas ekoran jarak rumah dengan sungai yang terlalu hampir, iaitu kurang 500 meter.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Rafi Mohd. Nor berkata, seramai lapan anggota dihantar ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

Kesemua mangsa dipindahkan ke Dewan Serbaguna Kampung Semanggar Dalam untuk sementara waktu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN