Lelaki mengaku tak bersalah kes cukai rokok hampir RM2j

Lelaki mengaku tak bersalah tipu selesai kes cukai rokok hampir RM2j

SEORANG ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang pagi ini atas lapan pertuduhan menipu seorang individu bagi menyelesaikan kes cukai rokok dengan pihak JKDM dan Eksais Diraja Malaysia membabitkan nilai RM1,895,020 pada 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini pagi ini atas lapan pertuduhan menipu seorang individu bagi menyelesaikan kes cukai rokok dengan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Eksais Diraja Malaysia membabitkan nilai RM1,895,020 pada 2019.

Chan Eng Leong, 48, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mohd. Khalid Abd. Karim dan Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut kertas pertuduhan, Eng Leong didakwa menipu Pengarah syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn. Bhd., Goh Kim Heong dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai dia boleh menyelesaikan kes cukai rokok dengan pihak JKDM dan Jabatan Eksais Diraja.

Tertuduh dengan itu dengan curangnya telah mendorong Kim Heong memindahkan saham syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn. Bhd. kepada syarikat Natural Transforms Sdn. Bhd. miliknya yang mana Kim Heong tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh sebanyak lapan kali iaitu enam kali pada 24 April dan masing-masing sekali pada 11 Jun dan 15 Ogos 2019 di alamat No 29, Green Hall di sini, membabitkan pemindahan sebanyak 1,810,020 unit saham.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri; Mohammad Nazri Abdul Rahim; Teh Li Siew dan Chew Qi Wei manakalan tertuduh diwakili peguam R.S.N Rayer dan R. Arvend.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 bagi setiap satu pertuduhan yang dihadapi tertuduh di hadapan kedua-dua hakim.

Bagaimanapun, Rayer merayu mahkamah mempertimbangkan supaya jaminan dikurangkan antara RM20,000 hingga RM50,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kesemua akaun bank milik tertuduh kini sudah dibekukan.

Selain itu kata Rayer, tertuduh yang turut menanggung seorang isteri dan tiga anak sebelum ini turut diarahkan membayar wang jaminan sebanyak RM450,000 bersabit dua lagi kes yang sedang dihadapinya di Mahkamah Khas Rasuah dan Mahkamah Sesyen Butterworth dekat sini.

Hakim Mohd. Khalid kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Sementara itu, Hakim Mazdi pula menetapkan wang jaminan keseluruhan RM130,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan yang dibacakan di hadapannya dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak dibenarkan mengganggu pengadu dan saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.

Dalam pada itu, kedua-dua mahkamah turut membenarkan permintaan Rayer supaya wang jaminan dibayar berasingan iaitu sebahagian hari ini manakala sebahagian lagi pada Isnin ini.

Kedua-dua mahkamah turut menetapkan 27 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya