Lelaki didenda RM4,000 menyamar Raja Muda Perak

Lelaki didenda RM4,000 menyamar Raja Muda Perak

MOHAMMAD Fadhil Lope didakwa kerana menyamar sebagai Raja Muda Perak di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyamar sebagai Raja Muda Perak pada Jun lalu. 

Tertuduh, Mohammad Fadhil Lope, 39, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif. 

Majistret turut menetapkan agar tertuduh menjalani hukuman penjara selama 10 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang menyara hidup dengan melakukan kerja-kerja kampung, didakwa cuba memperdaya seorang petugas di Pejabat Sultan Kedah dengan jalan samaran agar dibenarkan berjumpa Sultan Kedah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi, 28 Jun lalu di Pejabat Sultan Kedah, Wisma Darul Aman di sini. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Asmaa’ Zamri mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Syafiq Ahmad. 

Ketika membuat rayuan bagi pihak tertuduh, Muhammad Syafiq memohon agar hukuman diringankan kerana tertuduh kini sedang menanggung seorang anak yang masih bersekolah. 

Kes itu juga merupakan kesalahan pertama tertuduh dengan dia didakwa amat menyesali perbuatan tersebut dan tidak akan mengulanginya lagi. 

Akhbar sebelum ini melaporkan tindakan tertuduh yang hadir ke Pejabat Sultan Kedah bersama dua wanita, sebelum memperkenal diri dengan menggunakan sekeping kad berwarna kuning kepada petugas pejabat tersebut. 

Kad tersebut memaparkan gelaran dan nama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia British Bin Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Sheikh Tengku Lope Salleh Of Royal Irish Fusiller Princess Victoria.

Semakan dilakukan petugas tersebut dengan Bahagian Protokol dan Istiadat Negeri Perak mendapati tiada kerabat Diraja Perak Darul Ridzuan dengan nama, gelaran dan nombor kad pengenalan sedemikian. 

Petugas tersebut lalu bertindak membuat laporan polis kerana bimbang suspek terus menyalahgunakan gelaran diraja dan menyamar sebagai kerabat Diraja Perak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya