SEMPORNA: Hasrat dua sepupu keluar memancing bertukar menjadi tragedi apabila salah seorang daripada mereka dibaham buaya di Sungai Pegagau semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, salah seorang daripada mereka dibaham buaya semasa sedang memancing di tepi sungai tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Atas Air Daerah, Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu kira-kira pulul 7.16 petang dan sekumpulan pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer.
Berdasarkan maklumat daripada sepupu mangsa, kedua-dua mereka keluar memancing sebelum mangsa yang dikenali sebagai Azman Tugau,35, tiba-tiba dibaham buaya.
Sepupu mangsa sempat menyelamatkan diri dan melaporkan insiden itu kepada pihak polis bagi mendapatkan bantuan.
Beliau berkata, polis kemudian memaklumkan tentang kejadian berkenaan kepada pasukan bomba sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada pukul 8.15 malam dan ditangguhkan kira-kira pukul 8.53 malam susulan keadaan yang gelap.
Laporan diterima agak lewat kerana kawasan tersebut tidak mempunyai talian telefon dan juga liputan GIRN.
Jelas beliau, kedua-dua mangsa hanya memancing di tepi sungai tanpa menggunakan bot. –UTUSAN










