Lebih 7,000 sertai Munajat Keluarga Malaysia rai setahun pentadbiran PM - Utusan Malaysia

Lebih 7,000 sertai Munajat Keluarga Malaysia rai setahun pentadbiran PM

ISMAIL Sabri Yaakob ketika majlis Munajat Keluarga Malaysia di Putrajaya. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan malam ini meriah dengan alunan zikir apabila lebih 7,000 jemaah hadir mengimarahkan Munajat Keluarga Malaysia di Masjid Putra.

Program yang dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu bersempena genap setahun pada hari ini pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Kehadiran beliau berbaju Melayu berwarna putih di pekarangan masjid ikonik itu pada pukul 7 malam disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Mereka kemudian mendirikan solat fardu Maghrib dan Isyak secara berjemaah manakala sesi bacaan doa dipimpin sendiri Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh. Acara yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan TV AlHijrah bermula pukul 9 malam itu diketuai oleh pendakwah terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.

Turut mengalunkan zikir, selawat, tausiah dan qasidah itu ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Lukman Abdullah serta selebriti tempatan antaranya kumpulan Inteam dan Zayne.

Ismail Sabri juga mengambil peluang pada akhir program itu bagi menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada sejumlah penerima daripada kalangan pelbagai latar belakang asnaf. Mereka terdiri daripada sejumlah 20 buah pusat tahfiz, institusi pengajian pondok, premis kebajikan dan rumah anak yatim tertentu yang turut hadir menyertai acara munajat tersebut.

Bertemakan Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia – Teguh Bersama, program berkenaan juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Perbadanan Putrajaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya