LCS: TLDM gesa pihak terlibat didakwa

LCS: TLDM gesa pihak terlibat didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggesa mana-mana pihak yang terlibat dalam kepincangan berhubung projek pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) didakwa. 

Menurut TLDM, ini berikutan perolehan LCS itu merupakan kritikal bagi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara. 

Katanya, keupayaan tempur yang perlu dimiliki TLDM mestilah sejajar dengan perkembangan landskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau. 

Justeru, katanya, TLDM mengalu-alukan syor yang dikemukakan PAC dan mahukan hala tuju terbaik bagi projek pembinaan berkenaan. 

“TLDM amat menghargai keputusan yang dibuat oleh kerajaan untuk meneruskan projek ini kerana ia merupakan keputusan yang tepat dan didorong oleh keprihatinan kerajaan untuk mengutamakan kepentingan kedaulatan negara. 

“TLDM ingin menyatakan sokongan agar sebarang ketirisan di dalam projek ini disiasat, seterusnya pihak-pihak yang terbukti terbabit dengan perkara ini dibawa ke muka pengadilan seberapa segera. 

“Sebagai pengguna akhir, kelewatan pelaksanaan projek ini telah memberi kesan negatif bukan sahaja kepada keupayaan tempur armada TLDM, malahan kepada morale warga TLDM yang memerlukan kapal-kapal LCS ini untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan,” kata kenyataannya hari ini. 

TLDM dalam masa sama juga menyeru semua pihak agar berganding bahu dan memberikan sokongan terhadap kelancaran pelaksanaan projek tersebut demi memelihara kedaulatan dan keselamatan perairan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya