LCS: Saya takkan lari, sedia didakwa di mahkamah

LCS: Saya takkan lari, sedia didakwa di mahkamah – Hishammuddin

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sedia dihadapkan ke muka pengadilan jika didapati melakukan salah laku dalam isu pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Katanya, beliau sekadar mengambil tanggungjawab sebagai Menteri Pertahanan.

“Saya memikul tanggungjawab sebagai Menteri Pertahanan, tidak terlintas di hati kecil saya nak lari daripada mewarisi dosa orang lain. Ia datangnya daripada tanggungjawab yang saya pikul hari ini.

“Siapa yang salah tetap salah. Kita mahukan ketelusan dan keadilan. Itupun kehendak saya. Sekiranya ada penyelewengan, salah guna kuasa, unsur-unsur rasuah, semuanya terpaksa berhadapan dengan muka keadilan.

“Saya tidak terkecuali tapi mesti melalui proses. Ini sekiranya ada unsur-unsur melibatkan diri saya sendiri, saya terpaksa berdepan, mungkin orang pertama didakwa ke mahkamah,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi perbahasan usul projek LCS di Dewan Negara hari ini.

Namun, apa yang menjadi keutamaan Hishammuddin ketika ini adalah membantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima kapal-kapal yang diperlukan.

“Kalau hanya polemikkan isu ini, tak ada kesudahan. Saya takkan toleh ke belakang, saya tak bimbang. Sebagai menteri, saya dah cuba bentangkan apa yang terbaik, insya-Allah kalau kita dapat buktikan dalam masa terdekat sekurang-kurangnya mengikut jadual, kita akan dapat kapal pertama.

“Saya faham orang kata duit lesap, peralatan usang dan apa tindakan yang diambil ini hanyalah ikan bilis bukan jerung. Tapi masa akan buktikan, kalau kita betul-betul ikhlas nak selesaikan isu, selagi saya diamanahkan untuk memimpin Kementerian Pertahanan, saya akan pastikan apa yang saya janji di dewan ini akan dapat ditunaikan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau akan membawa cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat isu LCS di bawa ke Kabinet esok.

“Saya sendiri akan bawa ke Kabinet mengenai pandangan ini. Bukan semua setuju, ada yang tak setuju tapi ini tanggungjawab saya untuk ke Kabinet dan saya akan lakukannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.