PETALING JAYA: Jangkaan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang kapal tempur pesisir pantai (LCS) siap sekurang-kurangnya setahun hingga dua tahun lagi dianggap tidak realistik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, ini memandangkan reka bentuk terperinci LCS yang sepatutnya dimuktamadkan pada November 2016 hingga kini masih belum disiapkan dan hanya siap 80 peratus.
Menurutnya, pembinaan LCS melibatkan tiga fasa iaitu konsep reka bentuk yang bermula pada 4 Jun 2012 dan sepatutnya dimuktamadkan pada 28 Januari 2013, namun hanya dimuktamadkan pada 24 September 2013, menyaksikan kelewatan selama lapan bulan.
“Asas reka bentuk fasa kedua pula bermula 3 Oktober 2013 dan patut dimuktamadkan pada 31 Januari 2015 tetapi hanya siap sepenuhnya pada 20 Januari 2016 iaitu 17 bulan 20 hari lewat.
“Reka bentuk terperinci fasa ketiga pula sepatutnya bermula 6 Ogos 2014 hingga 29 November 2016, namun sehingga sekarang masih belum selesai. Bagaimana mungkin Hishamuddin kata LCS pertama akan siap dalam setahun atau dua tahun lagi?,” soalnya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya penjelasan Hishamuddin di Dewan Negara kelmarin berhubung tempoh yang akan diambil untuk menyiapkan LCS setelah tertangguh sekian lama.
Menteri Kanan Pertahanan itu bagaimanapun tidak dapat memberi ketetapan kerana kerajaan diberikan enam bulan selepas keputusan Kabinet untuk memobilisasikan usaha ‘menghidupkan’ semula projek LCS.
Bagaimanapun, Chin Tong meraguinya kerana hal sebenar yang berlaku ialah syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab menyiapkan projek itu diberi tempoh enam bulan untuk mencari dana mobilisasi bagi memulihkan projek berkenaan dan dana akan digunakan untuk membayar France Naval Group dan pihak pengeluaran produk tulen (OEM).
BNS dilaporkan berdepan masalah aliran tunai apabila membelanjakan sejumlah besar wang yang sepatutnya untuk projek LCS bagi membayar hutang-hutang lapuk menyebabkan rekaan terperinci LCS tidak dapat disiapkan.
“Proses reka bentuk adalah proses paling penting kerana tanpa reka bentuk yang diluluskan oleh kedua-dua kontraktor, projek LCS tidak dapat diteruskan,” kata Chin Tong.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini mendedahkan, tiada satu pun LCS TLDM disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada BNS secara rundingan terus. – UTUSAN










