LCS pertama mampu siap tanpa dana tambahan

LCS pertama mampu siap tanpa dana tambahan

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tiada suntikan dana tambahan diperlukan untuk menyiapkan kapal tempur pesisir pantai (LSC) yang pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Hishammuddin berkata, beliau juga optimis kapal LCS pertama dapat disiapkan dalam tempoh baharu yang ditetapkan dan seterusnya diserahkan kepada TLDM.

“Seperti yang saya umumkan bahawa dalam perancangan kita untuk melihat ke hadapan dalam masa satu atau dua tahun ini, saya rasa itulah LCS pertama kita.

“Dan tidak benar jika ada yang cakap selama ini tidak ada perkembangan langsung, pembinaan kapal yang ada kini dalam pelbagai peringkat pembinaan dan kelewatan itu bukan sahaja semasa kita memerintah.

“Semasa kita tidak berada di tampuk kepimpinan juga berlaku (kelewatan juga berlaku), tetapi saya tidak mahu menuduh sesiapa, kerana apa yang penting dengan perancangan yang telus seperti yang dibentangkan kepada semua, itulah harapan kita termasuklah kapal pertama, kedua, ketiga dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2022 dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ke-50 di Wisma Pertahanan di sini.

Menurut Hishammuddin, tumpuan beliau sekarang adalah untuk memastikan kapal LCS pertama dapat disiapkan dalam tempoh yang dijadualkan.

“Jadi saya hendak tengok apa yang dah dirancang, apa yang telah dibentangkan kepada Kabinet, apa yang telah saya jawab di Dewan Negara dapat disempurnakan dan ujiannya adalah kapal pertama tadi. Kapal pertama ini tidak akan menerima suntikan dana terbaru,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kapal seterusnya memerlukan suntikan dana tambahan.

“Buktikan kepada saya yang kita boleh siapkan kapal pertama dahulu. Kalau kapal pertama pun tak boleh siapkan seperti agenda di bawah pelan kita kali ini, tidak guna kita fikirkan dana tambahan,” katanya.

Sebelum ini, Hishammuddin dilaporkan berkata, kapal pertama daripada enam LCS diharap dapat disiapkan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi untuk diserahkan kepada TLDM.

Namun, beliau tidak dapat memberikan tempoh sebenar bagi kapal LCS untuk siap sepenuhnya kerana Kabinet memberi tempoh enam bulan kepada kementeriannya untuk memobilisasi usaha menghidupkan semula projek pembinaan kapal berkenaan.

Hishammuddin berkata, langkah itu memerlukan libat urus dengan vendor, termasuk di Perancis serta membabitkan agensi perbankan.-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN