KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membuat keputusan secepat mungkin berhubung syor pertuduhan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait kegagalan perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, beliau bagaimanapun belum menetapkan sebarang keputusan berhubung syor pertuduhan itu, namun, pihaknya akan tampil dengan keputusan tidak lama lagi.
“Pejabat Peguam Negara akan buat keputusan secepat yang mungkin. Minta bersabar,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut sama ada ‘segera’ yang disebutkannya boleh berlaku pada hari ini, minggu ini atau bila-bila masa.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, pengarah urusan sebuah syarikat dipercayai individu yang dicadangkan SPRM untuk dituduh berhubung kepincangan projek LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Satu sumber mendedahkan, individu berkenaan dikatakan sebagai ‘orang penting’ terlibat dalam proses perolehan projek pembinaan enam kapal tempur LCS yang membabitkan nilai RM9 bilion.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel menggesa supaya AGC tampil dengan keputusan segera.
“Ada cukup bukti untuk AGC mendakwa,” katanya ketika dihubungi.
Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann menggesa supaya mahkamah membuat pertimbangan sewajarnya dan memastikan tidak wujud unsur politik dalam membuat keputusan. – UTUSAN









