Laporan akhir Batu Puteh dibentang ke Kabinet September

Laporan akhir Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dibentang ke Kabinet September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan akhir Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada September ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 29 Oktober 2021.

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR

Katanya, laporan akhir itu telahpun dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemantauan yang dipengerusikan beliau setelah dimuktamadkan pada 22 Ogos lalu.

Menurut Wan Junaidi, dokumen tersebut merupakan suatu laporan bersifat bebas berasaskan pandangan dan pendapat pakar hasil analisa, penelitian dan pemerhatian Pasukan Petugas Khas sepanjang hampir sembilan bulan tempoh pelaksanaan iaitu bermula 9 November 2021 hingga 30 Ogos lalu.

“Syor opsyen-opsyen terbaik kerajaan mengenai hala tuju berhubung kes berkenaan yang dijelaskan melalui laporan khas ini adalah susulan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), The Hague, Belanda pada 2018 terhadap keputusan penghakiman ICJ pada 2008,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi kemudian memaklumkan beliau telah menerima laporan akhir setebal 500 muka surat tersebut oleh Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu sesi penyerahan rasmi dan disaksikan oleh para pegawai kanan daripada Kementerian Luar Negeri, Kementerian Alam Sekitar dan Air, Jabatan Peguam Negara dan Majlis Keselamatan Negara.

“Pelaksanaan Pasukan Petugas Khas ini merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan.

“Lanjutan daripada ini, syor-syor Pasukan Petugas Khas akan diteliti secara mendalam dan terperinci dari semua aspek agar sebarang tindakan susulan kerajaan berkaitan isu ini memberikan impak yang positif kepada negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN