SHAH ALAM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan konsep ‘Payung’ dengan peruntukan RM5 juta bagi membantu usahawan merancakkan lagi pengeluaran produk tempatan menerusi Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, konsep payung itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Luar Bandar bertujuan memudahkan bantuan kewangan mewakili syarikat yang mahu mengembangkan perniagaan stokis dan ejen.
“Sebagai langkah permulaan, KUSKOP memperuntukkan RM5 juta daripada keseluruhan RM65 juta bagi pelaksanaan skim berkenaan. Setiap syarikat boleh memohon pembiayaan maksimum sehingga RM100,000 di Bank Rakyat dan SME Bank.
“Konsep payung ini lebih kepada kelulusan pembiayaan secara berpukal oleh sesebuah syarikat dan mengelak permohonan yang berulang kepada bank,” katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran produk Aductive Food Sdn. Bhd. (Aductive) ke semua rangkaian Mesra Petronas di Glenmarie.
Pada majlis itu, perjanjian itu dimeterai antara Pengarah Aductive, Anif Azami dan Pengarah Eksekutif UV Legacy (M) Sdn. Bhd., Nurul Hamizah Badrul Hisham.
Jelas Noh, pihaknya setakat ini sudah menerima 15 permohonan awal skim berkenaan dari seluruh negara.
“Pembayaran pembiayaan itu akan dilakukan secara berperingkat mengikut syarat-syarat ditetapkan.
“Kita akan melihat sepenuhnya kriteria usahawan berkenaan sebelum bank membuat kelulusan untuk proses selanjutnya,” ujarnya.
Tambah beliau, skim itu antaranya membantu pemohon mendapatkan kilang dan peralatan termasuk usahawan di kawasan luar bandar.-UTUSAN