SERDANG: Tan Sri Abdul Hadi Awang menyindir Pakatan Harapan (PH) dengan perumpamaan ‘mi segera’ berikutan pentadbiran yang dipenuhi kecelaruan dan kegopohan ketika menjadi kerajaan.
Presiden Pas itu menjelaskan, PH terlalu gopoh mentadbir kerajaan sekali gus menjadi punca kejatuhan mereka selepas tempoh 22 bulan.
“PH kerajaan yang gopoh dan ‘kerajaan mi segera’. Masaknya segera, banyak hal-hal mentah, hingga terpaksa dijatuhkan. Ketika PH mengambil alih kerajaan, mereka bercelaru.
“Sudahlah kerajaan mi segera, tidak masak, berlaku pula krisis berebut nak jadi Perdana Menteri, menyebabkan alpa masalah yang patut diutamakan,” katanya dalam Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi merangkap Timbalan Pengerusi PN sekali lagi menegaskan, kerajaan Pusat yang ditubuhkan selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) wujud secara demokratik dan bukannya secara pintu belakang.
Jelasnya, PN bersama parti-parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) bersama-sama membentuk kerajaan dengan sah dengan mengumpul ahli-ahli Parlimen.
“Ketidakmampuan dan kelemahan PH, bantuan-bantuan tidak sampai kepada rakyat, bermacam-macam hal berlaku.
“Kita ambil alih dalam keadaan mencabar, dalam wabak Covid-19, namun tiada darah yang tumpah, tiada demonstrasi, tiada krisis,” ujar beliau.
Menurut beliau, kejatuhan BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana kemarahan rakyat dan kemudiannya memilih PH.
Meskipun ramai memperlekeh PN, Ahli Parlimen Marang itu berkata, pihaknya berjaya mentadbir negara ini sepanjang tempoh amat mencabar selepas Mac 2020.
“Oleh itu, kita perlu sebuah kerajaan yang kuat dan gagah dalam PRU15, menolak peristiwa lama dan menolak kegagalan serta menegaskan aspek integriti,” katanya. – UTUSAN