Khemah, gerai peniaga musnah dipukul ribut

Khemah, gerai peniaga musnah dipukul ribut

SEBAHAGIAN gerai niaga mengalami kerosakan di jalan Bypass selepas dibadai ribut di Pasir Puteh, semalam. - FOTO/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Ribut yang ‘membadai’ beberapa kawasan di jajahan ini menyaksikan khemah dan gerai milik peniaga kecil mengalami kerosakan selepas diterbangkan angin dalam kejadian petang semalam.

Kejadian pukul 6 petang itu bermula dengan tiupan angin kencang selama lima minit disusuli hujan lebat yang berlarutan sehingga 10 malam.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, antara lokasi yang terjejas ialah kawasan perniagaan penjaja kecil Pasir Puteh Sentral, pesisir Jalan Bypass dan laluan Tok Bali-Melawi.

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memotong batang pokok yang menghempap belakang lori di Kampung Gong Kubur, Pasir Puteh, semalam. – FOTO/TOREK SULONG

Kejadian itu turut menyebabkan dua jalan utama Semerak Pasir Puteh di Kampung Puyu dan Gong Kubur ke Bandar Lama Pasir Puteh terhalang selepas pokok besar tumbang merentangi laluan tersebut.

Seorang peniaga air balang di Tok Bali, Fadilah Ismail, 23, berkata, kejadian itu menyebabkan dia terpaksa mencari tempat perlindungan selepas khemah jualannya diterbangkan angin kencang.

Menurutnya, tiupan angin yang terlalu kuat menyebabkan semua barangan gagal di­selamatkan selain bersepah di kawasan tapak jualan tersebut.

“Ini kali pertama saya me­nyaksikan ribut yang kencang sepanjang hidup saya. Syukur, saya selamat.

“Berada di tepi jalan utama Tok Bali-Melawi berhampiran pokok ru yang bergoyang-goyang sungguh menakutkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, pihak­nya ke beberapa laluan utama untuk membersihkan pokok tumbang yang menghalang laluan trafik.

“Kita terima panggilan kecemasan pada pukul 6.08 petang. Seramai tujuh anggota termasuk pegawai telah bergegas untuk membersihkan pokok tumbang melintangi jalan utama di Kampung Gong Kubur-Pasir Puteh.

“Sejurus selepas selesai kerja-kerja pembersihan di kawasan tersebut, anggota bertugas ke lokasi kedua untuk me­ngalihkan sebatang pokok yang menghempap lori berhampiran kilang padi,” ujarnya.

Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.38 malam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi berkata, setakat pagi ini belum ada sebarang aduan kerosakan teruk diterima di mana-mana balai polis di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×