Khairy bertemu pemain industri kanabis, ketum - Utusan Malaysia

Khairy bertemu pemain industri kanabis, ketum

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dijangka mengadakan pertemuan dengan pemain penting dalam industri kanabis dan ketum di Thailand dalam siri lawatan kerja bilateral kesihatan yang bermula hari ini.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan memaklumkan Menteri Kesihatan akan berada di Thailand selama tiga hari bagi menghadiri Mesyuarat Peringkat Tertinggi Kesihatan dan Ekonomi (HLMHE) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Bangkok, Khamis ini.

Katanya, penyertaan Khairy adalah bagi memenuhi jemputan Timbalan Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul.

“Melalui lawatan bilateral ini, Kementerian Kesihatan berpeluang meneroka potensi penggunaan kanabis dan ketum dalam bidang kesihatan serta merangka strategi kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang terhadap penggunaannya. Lawatan bilateral kesihatan ini juga akan menjadi platform terbaik kementerian untuk pendedahan dan penelitian berhubung kajian-kajian antarabangsa berkaitan kanabis atau ketum termasuk hasil dapatan ujian-ujian klinikal kanabis untuk tujuan kesihatan,” katanya.

Lawatan itu juga akan membuka peluang kerjasama peringkat antarabangsa untuk mana-mana entiti swasta/penyelidikan menjalankan kajian dan ujian klinikal ke atas kanabis/ketum, membangunkan inovasi perubatan dan seterusnya meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di Malaysia.

“Dalam siri lawatan itu, selain mengunjungi Siam Cannabis Land, beliau akan melihat kaedah penanaman di dalam dan luar premis, rumah hijau dan bilik pengeringan. Menteri juga akan membuat lawatan ke Pejabat Farmaseutikal Kerajaan (GPO) untuk diberikan taklimat mengenai dasar kanabis di negara itu termasuk amalan, kaedah penanaman, kajian serta penggunaan kanabis dan ketum bagi tujuan kesihatan di Thailand,” katanya.

Kenyataan itu turut menyebut Khairy dan delegasi akan membuat lawatan ke Bumrungrad International Hospital, yang merupakan antara hospital swasta terbesar di Asia Tenggara dan juga Institut Psikiatri Somdet Chaopraya bagi melihat perkhidmatan kesihatan mental dan kaedah rawatan yang diberikan kepada pesakit.

“Komitmen Malaysia memenuhi jemputan lawatan rasmi bilateral kesihatan berhubung penggunaan kanabis dan ketum bagi tujuan kesihatan serta menghadiri mesyuarat HLMHE APEC membuktikan Malaysia adalah konsisten dan komited dalam setiap kerjasama di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN