PUTRAJAYA: Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) amat terkilan dan kecewa dengan tingkah laku seorang pegawai kanan berjawatan Ketua Pengarah yang didakwa menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Presidennya, Khairil Niza Khairuddin berkata, insiden bermula apabila tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP KLIA dan pegawai kanan itu mahukan layanan orang kenamaan.
Menurut beliau, sememangnya pegawai Imigresen tidak ditempatkan di kaunter bilik VIP secara 24 jam kerana keperluan pegawai bertugas di kaunter biasa lebih diperlukan berbanding kaunter bilik VIP yang hanya dibuka apabila ada keperluan dan mendapat pemakluman awal.
“Pegawai ini yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen KLIA telah dipanggil, ditengking dan diherdik serta diminta supaya berdiri tegak di tengah khalayak ramai oleh pegawai kanan berkenaan.
“Tindakan yang tidak profesional oleh seorang pegawai tertinggi kerajaan ini dan kata-kata yang dilepaskan dalam nada menengking di hadapan orang ramai serta kakitangan Imigresen lain yang sedang bertugas merupakan satu sikap biadab serta tidak menghormati entiti perkhidmatan awam itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairil Niza berkata, pegawai Imigresen lain yang berada di tempat kejadian turut berasa terhina di khalayak ramai atas tindakan pegawai tersebut.
Jelas beliau, sikap pegawai yang mahukan layanan orang kenamaan juga menunjukkan sikap pentingkan diri serta tidak cakna dengan kesusahan rakyat dan orang awam lain yang sabar beratur menunggu giliran dalam melepasi pemeriksaan di kaunter biasa yang lain.
“Pegawai yang ditengking serta diperlakukan sedemikian rupa adalah seorang pegawai yang cekap, berhemah dan sentiasa responsif dengan sebarang situasi di tempat kerja,” katanya.
Tambah beliau, pegawai berkenaan bertugas dengan penuh dedikasi dalam memastikan urusan keluar masuk dan operasi pemeriksaan penumpang di KLIA berjalan dengan lancar.
Justeru katanya, kejadian itu amat mengecewakan pegawai Imigresen lain keseluruhannya.
Sehubungan itu, KPISM yang mewakili 14,000 pegawai Imigresen seluruh negara menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada pegawai kanan itu kepada Jabatan Imigresen keseluruhannya.
“KPISM juga menggesa kerajaan dan CUEPACS agar memandang serius perkara ini dan satu tindakan perlu diambil kepada penjawat awam yang sombong serta angkuh seperti ini.
“KPISM juga menyokong penuh segala tindakan yang akan diambil Ketua Pengarah Imigresen dalam perkara ini demi memartabatkan maruah pegawai di Jabatan Imigresen,” katanya.
Beliau berkata, seharusnya seorang pegawai tertinggi perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada penjawat awam yang lain serta kepada rakyat keseluruhannya. – UTUSAN











