Ketetapan pemilihan UMNO masih tergantung - RoS

Ketetapan pemilihan UMNO masih tergantung – RoS

UMNO perlu membuat ketetapan sama ada mahu mellanjutkan atau sebaliknya tempoh pemilihan sehingga enam bulan selepas PRU.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu pemilihan UMNO perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih tergantung, kata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Mohd. Nawardi Saad berkata, meskipun pindaan perlembagaan diluluskan, UMNO tetap perlu memaklumkan mengenai perkara itu kepada jabatan berkenaan sebelum 29 Disember ini.

“Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu buat ketetapan sama ada nak lanjut atau tidak tempoh pemilihan sehingga enam bulan selepas PRU. Ketetapan tersebut perlu dimaklumkan kepada RoS,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

RoS dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan, pihaknya bersetuju kepada pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen (Dewan Rakyat).

RoS juga meminta supaya satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal PRU Parlimen (Dewan Rakyat).

Kenyataan itu susulan permohonan yang dibuat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 17 Mei lalu selepas Perhimpunan Agung Khas UMNO meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

MKT UMNO pada 29 Jun tahun lalu hanya menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MT selama 18 bulan.

Nawardi berkata, jika pihaknya tidak menerima sebarang ketetapan daripada UMNO, ini bermakna parti itu perlu membuat pemilihan sebelum 29 Disember ini.

“Jika tidak buat pemilihan selepas Disember, MT hanya berperanan sebagai ‘caretaker’,” katanya lagi.

AHMAD MASLAN

Sementara itu, Ahmad bagaimanapun ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menghantar kembali pemakluman kepada RoS, Selasa lalu.

“Kita adakan mesyuarat MKT minggu lalu, jadi dua hari lalu (Selasa) kami hantar kepada RoS tentang keputusan MKT UMNO yang bersetuju pindaan yang dilulus RoS. Kita kepilkan sekali salinan perlembagaan yang telah dipinda, ia berkenaan pemilihan parti tidak lewat dari tempoh enam bulan selepas sesuatu pilihanraya umum diadakan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN