Polis selesai ambil keterangan Mohamed Apandi - Utusan Malaysia

Polis selesai ambil keterangan Mohamed Apandi

1MDB Najib Jho Low
MOHAMED APANDI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keterangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung salah guna kuasa dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah selesai dirakam Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman di sini hari ini.

Bagaimanapun, PDRM tidak menyatakan di mana lokasi keterangan berkenaan diambil.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, proses berkenaan dilakukan bermula pukul 2.30 petang hingga 3.45 petang tadi.

“PDRM sahkan USJT telah selesai mengambil rakaman percakapan Mohamed Apandi hari ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Terdahulu, Utusan Malaysia bersama beberapa pengamal media berkumpul di hadapan pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sejak pukul 2 petang.

Namun, sehingga pukul 2.30 petang kelibat Mohamed Apandi tidak kelihatan memasuki Bukit Aman.

Dalam pada masa itu, satu makluman dikeluarkan Bukit Aman secara ringkas kira-kira pukul 2.47 petang memberitahu rakaman percakapan Mohamed Apandi tidak dibuat di Bukit Aman.

Terdahulu, PDRM dalam satu kenyataan semaam memaklumkan Mohamed Apandi akan dipanggil bagi siasatan di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan.

Siasatan Seksyen 217 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan penjawat awam yang mengingkari arahan undang-undang dengan niat hendak menyelamatkan orang daripada seksaan, atau harta daripada dirampas. Ia membawa kesalahan penjara tidak lebih dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Jumaat lalu, polis mengesahkan membuka kertas siasatan terhadap Mohamed Apandi susulan laporan polis dibuat terhadapnya. 

Laporan dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Pejuang di Selangor manakala Ketua Sosialis Pemuda DAP Kebangsaan (DAPSY) Dr. Kelvin Yii Lee Wuen di Kuala Lumpur. 

Pada 22 Julai lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa Mohamed Apandi disiasat susulan dakwaan bekas Peguam Negara itu bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Dalam pada itu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, laporan bahawa Mohamed Apandi bertindak sebagai orang tengah untuk Jho Low amatlah mengejutkan.

Susulan itu beberapa wakil Pejuang dan pemimpin politik pembangkang telah membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan penglibatan Mohamed Apandi.

Dalam laporan itu, mereka turut mendakwa kedudukannya sebagai Peguam Negara ketika itu memberi ruang dan peluang buatnya terlibat dengan salah laku berkaitan skandal berat itu.

Ini juga mengambil kira cubaannya untuk menggugurkan sebarang pertuduhan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawat jawatan berkenaan.

Sebelum ini, Jho Low dilaporkan bersedia untuk memulangkan wang RM1.5 bilion untuk menyelesaikan kes penyelewengan dana 1MDB.

Mohamed Apandi sebelum ini menjelaskan bahawa peranannya mengatur pertemuan Jabatan Peguam Negara bersama firma guaman mewakili Jho Low, Kobre dan Kim, hanya sebagai fasililator. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya