fbpx

Kerajaan tubuh jawatan kuasa isu perbalahan kakitangan awam

ISMAIL SABRI YAAKOB

SERDANG: Kabinet  bersetuju mewujudkan satu jawatan kuasa dalaman untuk menyiasat isu ‘perbalahan’ antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan itu dilakukan untuk menyiasat perbalahan tersebut dan berlaku adil kepada semua pihak serta tidak membawa kepada perpecahan dalam kalangan kakitangan awam.

Menurut beliau, siasatan itu diserahkan sepenuhnya kepada ahli-ahli jawatan kuasa dan beliau turut berharap ia dilakukan secepat mungkin.

“Untuk menyiasat perkara ini kita serahkan kepada jawatan kuasa itu yang akan ditentukan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali mengenai siapa menjadi pengerusi, ahli dan sebagainya untuk buat siasatan secara dalaman.

“Ahli jawatan kuasa itu juga mungkin daripada luar dan saya berharap siasatan dilakukan dengan cepat, jangan terlalu lama. Siasat bukan susah sangat, ada video serta sebagainya,”  katanya selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022, di sini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, KPISM rasa terkilan dan kecewa dengan tingkah laku seorang pegawai kanan berjawatan Ketua Pengarah yang didakwa menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ismail Sabri berharap isu perbalahan itu tidak memecahbelahkan kakitangan awam dan suasa harmoni dalam kalangan golongan tersebut dapat dikekalkan.

“Kita bincang perkara ini dalam Kabinet kerana kita tidak mahu timbul perpecahan dalam kakitangan kerajaan, kita nak suasana harmoni di kalangan kakitangan kerajaan perlu dikekalkan,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!