PASIR MAS: Kerajaan sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi banjir apabila sebanyak RM9.5 juta diperuntukan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan pengurusan musibah berkenaan pada tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Siti Zailah Mohd. Yusof berkata, peruntukan itu melibatkan agihan berupa barangan keperluan harian seperti makanan, toto dan selimut mangsa yang terjejas dengan musibah berkenaan nanti.
“Musim monsun sekarang ini tidak menentu dan bukan Kelantan sahaja berdepan dengan banjir, seluruh negara turut terdedah dengan perkara tersebut (banjir). Oleh yang demikian kerajaan secara keseluruhannya sudah siap sedia untuk menghadapi banjir tahun ini termasuk penyediaan makanan dan sebagainya.
“Begitu juga penglibatan sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat juga sedia membantu dari pelbagai aspek sekiranya mana-mana negeri dilanda banjir,” katanya kepada pemberita pada program Festival Jjupo Mata Keluarga Malaysia 2022 di dataran Bandar Baru Pasir Mas di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md. Nawi
Dalam perkembangan lain, Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang memberitahu, pihaknya sudah menyediakan pelan jangka pendek sebagai persiapan untuk menghadapi banjir di kawasan kampung yang terletak berhampiran dengan lembangan Sungai Golok di Rantau Panjang.
Katanya, pelan jangka pendek itu susulan pembinaan benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.
“Saya telah pun berbincang dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan ada dua tiga cara teknikal untuk mengatasi bencana itu di kawasan ini iaitu kawalan pintu air dan pam besar perlu disediakan nanti.
“Sekiranya berlaku takungan air yang besar, pam ini akan berperanan membantu mengimbangi paras air banjir itu,” ujarnya. – UTUSAN










