PUTRAJAYA: Kerajaan akan mempertimbang eksport ayam sekiranya bekalan untuk keperluan di dalam negara dan harga bahan mentah itu pulih sepenuhnya.
Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebelum kebenaran itu diberikan, kerajaan juga perlu memperhalusi pemberian subsidi kepada yang membolehkan ayam standard dijual pada harga siling runcit RM9.40 sekilogram di Semenanjung ketika ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, kerajaan tidak hanya perlu tangani soal eksport sebaliknya turut mengkaji selama mana subsidi itu mahu dikekalkan.
“Kalau kita tiba-tiba terus membenarkan eksport dan pada masa yang sama ditamatkan subsidi, maka harga ayam mungkin melambung sekali lagi,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, bahawa Kabinet akan memuktamadkan keputusan mengenai eksport ayam, hari ini.
Jelas Annuar lagi, Kabinet ada membincangkan isu kebenaran mengeksport ayam, hari ini namun tiada keputusan dibuat dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut mengemukakan beberapa syor.
Katanya, keperluan ayam dalam negara ketika ini adalah sebanyak 70 juta ekor sebulan atau kira-kira 2.2 juta ekor sehari malah, bekalan keperluan ketika ini mencecah 3.5 juta ekor sehari.
“Walaupun bekalan melebihi keperluan, kerajaan hanya akan membenarkan eksport jika ia tidak menjejaskan keperluan domestik.
“Kerajaan akan membuat keputusan itu selepas semua perkara diteliti dan satu kaedah akan diperkenalkan jika ayam dibenarkan untuk eksport,” katanya.. – UTUSAN