ALOR GAJAH: Kementerian Sumber Manusia (KSM) belum menerima sebarang permohonan rasmi berkaitan cadangan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan membenarkan etnik Rohingya mengisi kekurangan tenaga kerja di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, pihaknya juga belum membuat sebarang perbincangan berhubung cadangan berkenaan.
“Kita tunggu dulu aduan daripada MEF secara rasmi, di peringkat kementerian kita belum ada berbincang mengenai perkara ini kerana belum menerima sebarang aduan (cadangan).
“Mungkin perbincangan di luar sana, mungkin belum sampai kepada pihak kementerian secara rasmi. Kita tidak tahu menahu mengenai perkara ini dan kita tak tahu nak letak mereka (Rohingya) di sektor mana yang diminta.
“Ini sebenarnya melibatkan banyak pihak seperti Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Jabatan Imigresen serta beberapa akta yang tidak dihuraikan. Biar kita tunggu aduan secara rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada penerima, Mohd. Zulkifli Omar, 59, di Taman Kelemak Jaya di sini, semalam.
Terdahulu, Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, isu kekurangan pekerja yang dianggap semakin menekan golongan majikan di negara ini mewajarkan kerajaan mempertimbang untuk membenarkan etnik Rohingya bekerja bagi mengisi jurang berkenaan.
Beliau berkata, situasi mendesak ketika ini disifatkan sebagai masa sesuai untuk memberi kebenaran kepada pelarian berkenaan yang berdaftar dengan UNHCR diambil bekerja.
Dalam pada itu, Awang turut menyampaikan faedah pencen ilat berjumlah RM891.67 dan faedah elaun layan sentiasa (ELS) berjumlah RM500 kepada Mohd. Zulkifli dan isteri, keseluruhan berjumlah RM1,391.67 setiap bulan.
“Penerima ini juga layak menerima peralatan pemulihan daripada Perkeso iaitu lampin pakai buang, susu dan ripple mattress,” jelasnya. – UTUSAN