PETALING JAYA: Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bersyukur dan berterima kasih kepada kepemimpinan tinggi negara kerana kenaikan ini memberi semangat kepada kakitangan untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik.
Pegawai Kemas Daerah Kota Tinggi, Johor, Azahanim Othman berkata, dia amat bersyukur kerajaan memahami cabaran yang ditempuhi oleh mereka dan menaikkan elaun serta gred kakitangan.

“Saya amat gembira kerajaan melihat Kemas sebagai sebuah jabatan yang beramanah dan bertanggungjawab dalam membantu masyarakat terutamanya kawasan luar bandar.
“Dia telah bekerja selama 18 tahun di Kemas dan amat teruja dengan kenaikan ini iaitu dari Gred S38 ke S41 dan berharap dapat memberi impak yang lebih baik kepada masyarakat.
“Dengan faktor ekonomi sekarang, pihak kami gembira dengan kenaikan ini dan berharap kenaikan bukan untuk tahun ini sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun Pembantu Pendidikan Masyarakat (PPM) Kemas kepada RM800 berbanding RM500 sebelum ini.
Kerajaan juga bersetuju memberi dua gred kenaikan pangkat bagi skim-skim perkhidmatan iaitu Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Tabika/Taska dan Pembangunan Kemahiran dan Komuniti Gred S29 kepada gred S32 serta gred S38 dan Pegawai Kemajuan Daerah dari gred 38 ke 41 serta pengarah negeri dari gred 48 ke 52.
Pembantu Pendidik Masyarakat Sukarela (PPMS) Tabika Kemas Kompleks Kejiranan Presint Sembilan, Nur Ain Abdul Manan berkata, dia amat bersyukur kepada jawatankuasa Kemas dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk kenaikan tersebut.
Katanya, selama enam tahun bertugas ini kali pertama kenaikan elaun berlaku iaitu sebanyak RM300 dan berharap kerajaan akan terus mempertimbangkan kenaikan beberapa tahun sekali.
Azahanim berkata, dia berharap kerajaan akan dapat melihat struktur organisasi keperluan dari masa ke semasa supaya kami dapat memberi semula kepada masyarakat. – UTUSAN










