Kedai kopi 70 tahun tumpuan pelbagai kaum - Utusan Malaysia

Kedai kopi 70 tahun tumpuan pelbagai kaum

KEHARMONIAN masyarakat pelbagai kaum dapat disaksikan di Kedai Kopi Tai Tong yang menjadi tumpuan di Jalan Sekolah Derma, Kangar, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Melalui Jalan Sekolah Derma di sini, di tepi jalan, kelihatan sebuah kedai kopi lama yang wujud hampir 70 tahun lalu yang sentiasa dipenuhi pelanggan daripada pelbagai kaum.

Kedai Kopi Tai Tong yang terletak dalam sebuah rumah kedai lama cukup popular dalam kalangan masyarakat di negeri ini yang menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat sarapan pagi sambil menikmati keenakan rasa kopinya serta pelbagai makanan tradisi pelbagai kaum di situ.

Kedai berkenaan juga menjadi tempat berkumpul semua lapisan masyarakat sekali gus menghidupkan semangat perpaduan yang kuat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik kedai tersebut, Lim Peng Chuan, 62, berkata, pelanggannya terdiri daripada pelbagai kaum yang sentiasa memenuhi kedai yang dibuka seawal pukul 7 pagi itu.

Dia yang merupakan generasi kedua kedai itu berkata, lazimnya di sebuah meja semua kaum ada yang rancak berbual sambil menikmati makanan.

Katanya, makanan yang dijual di sini juga menampilkan cita rasa pelbagai kaum seperti nasi lemak, roti canai, tosei dan banyak lagi.

“Di sini, dapat dilihat suasana di mana semua masyarakat pelbagai kaum berkumpul. Suasana perpaduan sangat kuat di sini sejak sekian lama,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Ahmad Asyraf Ismail, 34, berkata, setiap hari dia akan singgah di kedai tersebut bersama rakan-rakannya untuk bersarapan pagi.

Katanya, dapat disaksikan semua kaum menjamu selera di sini.

“Kedai kopi seperti ini sememangnya menjadi tumpuan semua lapisan masyarakat dan di Perlis semangat perpaduan masih kuat di mana semua kaum bersatu hati,” katanya.

Kang Terry, 39, pula berkata, dia bersama rakan-rakan daripada pelbagai kaum sering datang bersarapan bersama di sini.

“Di sini menjadi kelaziman kami daripada pelbagai latar belakang kaum berkumpul sekali gus menguatkan semangat perpaduan yang dilihat semakin pudar kebelakangan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.