PETALING JAYA: Ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 dipacu permintaan domestik yang tinggi, disokong pemulihan pasaran pekerja serta dasar-dasar kerajaan yang berterusan.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu jauh lebih baik daripada apa yang dicatatkan Amerika Syarikat (AS), Singapura dan China.
AS mencatatkan pertumbuhan 1.6 peratus, Singapura 4.4 peratus manakala China 0.4 peratus.
Bagaimanapun, penganalisis meramalkan selepas lonjakan tinggi yang turut disumbang kebenaran mengeluarkan Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWS) pada April lalu, KDNK akan turun semula kepada 5.0 hingga 6.0 peratus pada suku ketiga manakala bagi suku keempat antara 2.0 hingga 3.0 peratus.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, walaupun KDNK meningkat sebahagiannya disebabkan oleh asas yang rendah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada Jun 2021, pertumbuhan pada April dan Mei 2022 menunjukkan prestasi yang kukuh.
Menurut beliau, pertumbuhan yang lebih tinggi juga mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik dan sempadan antarabangsa turut dibuka semula.
“Eksport terus disokong oleh permintaan yang kukuh untuk produk elektrik dan elektronik (E&E).
“Dari segi sektor, pertumbuhan didorong sektor perkhidmatan dan sektor perkilangan,” kata beliau pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi pada suku kedua 2022 di sini semalam.
Beroperasi
Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, suku kedua menyaksikan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi semula, ditambah pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu.
Menurut beliau, ekonomi terus rancak apabila memasuki bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada April dan Mei dengan aktiviti ziarah dan pergerakan dalam negara yang secara tidak langsung merancakkan semula sektor perhotelan, pengangkutan dan sebagainya.
“Pada masa sama, pengeluaran khas KWSP yang diterima pada April, sekali gus terus merancakkan ekonomi apabila rakyat terus berbelanja.
“Selain itu, ekonomi suku kedua juga didorong pengecualian cukai kenderaan yang diberikan oleh kerajaan sehingga 30 Jun lalu, sehingga syarikat automobil negara mencatat tempahan tertunggak mencecah 500,000 unit,” katanya.
Bagaimanapun, Aimi Zulhazmi berkata, pertumbuhan KDNK bagi suku ketiga diramal akan susut antara 5.0 ke 6.0 peratus selepas naik terlalu tinggi pada suku kedua.
“Keadaan ini dipanggil pembetulan teknikal (technical correction). Selepas naik tinggi suku kedua, rakyat sudah tidak berbelanja seperti suku kedua, terutama apabila tiada lagi pengumuman pengeluaran KWSP.
“Dari segi stok juga, misalnya stok barangan elektrik dan elektronik, permintaan tinggi pada suku kedua dan pada suku ketiga, stok sudah mula diedarkan. Harga minyak pula sudah menurun, begitu juga dengan harga komoditi lain seperti kelapa sawit berikutan permintaan yang semakin kurang.
“Keadaan ini menunjukkan indikatif ekonomi dunia ke arah kemelesetan dan kembali kepada keadaan sebenar,” ujarnya.
Kuasa beli
Pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kuasa beli menjadi faktor utama pertumbuhan mendadak KDNK suku kedua tahun ini.
“Angka ini dijangka malah ahli ekonomi antarabangsa meramalkan Malaysia catat pertumbuhan sehingga 9.0 peratus.
“Ini kerana, terdapat peningkatan terhadap penggunaan wang, perbelanjaan awam dan minat membeli terutama dalam sektor perkhidmatan, pelancongan dan industri makanan dan minuman (F&B),” katanya.
Bagaimanapun, menurut beliau, permintaan akan berkurangan, minat membeli turun pada bulan ini, jadi pertumbuhan akan menjadi perlahan, manakala bagi suku keempat, negara diramal mencatat pertumbuhan sekitar 2.0 ke 3.0 peratus.
“Ini disebabkan sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pertanian masih berdepan kekurangan tenaga kerja,” katanya.
Barjoyai bagaimanapun menyifatkan pertumbuhan negara tidak terjejas teruk dengan kesan inflasi dan harga barang.
“Kadar inflasi ketika ini 3.4 peratus, tetapi kalau ia naik cepat, ia akan mencetuskan panik dan pasaran terganggu.
“Bagaimanapun, kita masih terkawal, harga barang pun mungkin akan naik hanya antara 0.2 hingga 0.3 peratus. Lagipun harga ayam sudah turun, harga sayur pun turun 30 peratus, harga buah turun 20 peratus,” katanya.- UTUSAN










