Kawal penyemak industri daripada ‘membiak’ - Utusan Malaysia

Kawal penyemak industri daripada ‘membiak’

AWIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN sekali, bahkan sudah berulang kali isu mengenai kehadiran ‘artis segera’, terutama dalam kalangan instafamous diperkatakan.

Benarkah kehadiran memberi kesan kepada industri seni atau sekadar persinggahan bermusim dan akan berlalu pergi apabila tiba masanya? Persoalan ini mencetuskan perdebatan sejak beberapa lama.

Datuk Awie antara penyanyi yang lantang menentang kemunculan artis segera ini. Awie tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila industri muzik ‘dilacurkan’ golongan yang terlalu kemaruk mengejar populariti, biarpun tiada bakat untuk dipertaruhkan.

Kehadiran artis segera ini dengan segala macam drama dan gimik murahan membuatkan ramai resah. Kegusaran itu berasas kerana golongan dianggap ‘pengacau’ ini dilihat semakin ‘membiak’ dan sekiranya tidak dipantau, boleh menjatuhkan dan memusnahkan industri.

Hanya kerana viral di media sosial, mereka dengan begitu mudah diangkat sebagai penyanyi dan dipandang disebabkan jumlah pengikut yang ramai.

Lebih meresahkan mereka turut memanfaatkan segenap ruang yang ada untuk melonjakkan nama demi meraih jumlah tontonan yang tinggi di YouTube.

Pelbagai strategi dirangka untuk pengisian kandungan di media sosial supaya nama mereka terus diperkatakan, tanpa mengambil kira aspek seni itu sendiri.

Apakah mereka ini serius mahu menjadi anak seni atau sekadar menjadi pencipta kandungan untuk menjana populariti demi mengaut keuntungan?

Diukur dari sudut kualiti, lagu mereka memang sukar melepasi carta, apatah lagi bersaing pada anugerah berprestij seperti Anugerah Juara Lagu atau Anugerah Industri Muzik.

Diputarkan stesen radio pun masih belum tentu. Mereka mungkin hanya mampu bermegah dengan jumlah tontonan yang mencecah jutaan di YouTube.

Namun, persoalannya apakah itu yang dimahukan peminat? Perlukah ada kawalan untuk memastikan industri muzik tidak terus dihancurkan?

Datuk Habsah Hassan, sebelum ini pernah mencadangkan kawalan kualiti diwujudkan bagi membolehkan syarikat penyiaran menilai segala aspek termasuk melodi, lirik dan suara penyanyi sebelum sesebuah lagu disiarkan.

Persatuan hiburan juga digesa lebih agresif membendung segera permasalahan ini supaya hak dan tempat untuk pengkarya profesional tidak dirompak oleh kelompok yang bakat mereka boleh dipertikai ini.

Begitu juga stesen penyiaran, perlu lebih bertanggungjawab dan tidak terlalu mengutamakan gimik untuk menaikkan rating.
Aspek komersial memang perlu, tetapi biarlah ia memberi manfaat kepada khalayak. Tiada guna kita berbangga, tetapi industri seni menjadi korban kerakusan kita sendiri. Fikirkanlah…

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya