Kasih sayang dua kakak jaga adik terlantar ketumbuhan otak

Kasih sayang dua kakak jaga adik terlantar ketumbuhan otak

NOOR Ain Momin (berdiri, kanan) dan Noor Azlina menguruskan kebajikan Muhammad Ridwan akibat penyakit ketumbuhan otak di Felda Kota Gelanggi Dua di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kasih sayang dua kakak terserlah apabila sanggup mengetepikan kerjaya dan masa depan demi menjaga adik mereka, Muhammad Ridwan Momin, 26, yang terlantar akibat ketumbuhan otak sejak lima tahun lalu.

Noor Azlina Momin, 31, dan Noor Ain, 27, turut menjaga bapa mereka, Momin Mat Rejab, 77, yang mengalami komplikasi penyakit seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis, kerap uzur serta sudah tidak mampu bekerja di ladang kelapa sawit sejak 10 tahun lalu.

Noor Azlina terpaksa berhenti kerja di sebuah pasar raya di Temerloh manakala Noor Ain melupakan sementara hasrat mencari kerja selepas tamat belajar berikutan memikul tanggungjawab tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Noor Ain berkata, rutin harian mereka sepenuhnya kepada kebajikan serta memberikan kasih sayang terhadap Muhammad Ridwan dan Momin.

Beliau berkata, adiknya menjalani pembedahan pertama akibat ketumbuhan otak pada 22 Mei 2017 di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan walaupun menjadi dua lagi pembedahan susulan selepas itu, penyakit Muhammad Ridwan belum pulih.

“Kami berdua menjaga adik sepanjang masa seperti menyediakan makan minum, ubat, pakaian, membersihkan badan, memakai lampin pakai buang termasuk menjaga ketika menjalani pembedahan di hospital,” katanya ketika ditemui di Felda Kota Gelanggi Dua di sini, semalam.

Noor Ain berkata, sejak 2017 sehingga ini, dia dan kakaknya berulang alik ke hospital di HTAA dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk membuat pemeriksaan dan rawatan susulan adiknya malah bergilir-gilir bermalam di hospital menjaganya.

Menurutnya, ketika masa terluang dia mengambil upah menjahit baju dengan pendapatan tidak seberapa, iaitu purata RM300 sebulan bagi menyara serta menampung keperluan kebajikan adiknya.

“Kami berbelanja sebanyak RM1,500 sebulan untuk keperluan kebajikan Muhammad Ridwan dan kadangkala melebihi jumlah berkenaan apabila kerap membawanya ke hospital dengan menyewa ambulans.

“Selepas pembedahan, adik saya yang dibuang sebahagian tempurung kepala selepas tidak boleh menggerakkan anggota badannya serta bercakap cuma berbaring di katil dan berkerusi roda serta rutin hariannya kami bantu,” katanya.

Katanya, adiknya itu memperoleh bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dapat meringankan perbelanjaan keperluan makanannya di rumah termasuk berulang alik ke hospital.

Orang ramai serta dermawan yang ingin membantu boleh menghubungi Noor Ain melalui talian 01125409790 atau terus akaun Affin Islamic Bank, Noor Azlina bernombor. 205130910166. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya