Kanak-kanak pesakit kanser teruja tonton wayang percuma

Kanak-kanak pesakit kanser teruja tonton wayang percuma

NUR Qistina Batrisyia Mohd. Zamri menunjukkan tiket filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa bersama Juriah Saad di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: “Seumur hidup anak saya, ini kali pertama dia dapat tengok wayang. Alhamdulillah, dia sangat gembira dan ini mungkin antara impian terakhirnya yang dapat kami tunaikan.”

Itu kata Juriah Saad, 41, ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan yang didiagnosis menghidap kanser leukemia tahap akhir iaitu Nur Qistina Batrisyia Mohd. Zamri, 7.

Juriah berterima kasih kepada semua pihak yang membantu merealisasikan impian anak ketiga daripada lima beradik itu khususnya Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi pasukan 15 Skuadron yang berpangkalan di Butterworth.

“Satu lagi impian anak saya ialah untuk ke sekolah seperti rakan-rakan sebayanya yang lain.

“Kami sedang berusaha untuk berbincang dengan pihak sekolah bagi tujuan itu dan berharap dia dapat merasai alam persekolahan sama seperti kanak-kanak lain,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program tayangan amal Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di GSC Sunway Carnival, Seberang Jaya semalam.

Yang turut serta pada program dihadiri Pengerusi Foccan, Maznah Tayib itu ialah 50 kanak-kanak pesakit kanser lain bersama ahli keluarga mereka serta 30 juruterbang dari 15 Skuadron TUDM Butterworth, di sini.

Dalam pada itu, Nur Qistina Batrisyia yang disahkan menghidap kanser tersebut sejak tiga tahun lepas tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya apabila berpeluang menonton filem aksi tersebut di pawagam.

“Saya sangat seronok hari ini, terima kasih kepada semua pihak yang masih mengingati kami,” kata si kecil itu yang bercita-cita menjadi seorang askar.

Bagi ibu kepada seorang lagi pesakit kanser, Zaiton Awang, 46, anaknya, Natasha Hasjemi, 17, ketika ini memilih untuk tidak lagi menjalani rawatan kemoterapi selepas didiagnosis menghidap kanser darah sejak berusia 10 tahun.

“Alhamdulillah, meskipun tidak lagi meneruskan rawatan seperti sebelum ini, Natasha masih sempat bersekolah walaupun sampai tingkatan dua sahaja,” katanya yang turut gembira melihat perubahan anaknya selepas diberi peluang menonton wayang secara percuma itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya