KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun rentung manakala, lima mangsa lain mengalami kecederaan akibat melecur dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Kampung Perpaduan, Kinabatangan tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, rumah yang dihuni lapan sekeluarga itu terbakar sepenuhnya dalam kejadian tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, mayat kanak-kanak dikenali sebagai Mohd. Adlinsyah Mohd Adsni ditemukan di dalam sebuah bilik.
Mangsa rentung disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Kesemua mangsa dipercayai sedang tidur dan kanak-kanak itu terperangkap di dalam sebuah bilik dan gagal diselamatkan oleh anggota keluarga lain.
“Lima anggota keluarga termasuk ibu bapa mangsa melecur pada bahagian badan manakala, dua keluarga lain terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bapa mangsa, Mohd. Adsni Sani, 43, melecur 60 peratus manakala, ibu mangsa, Alina Sahari, 41, melecur lima peratus.
Sementara itu, tiga mangsa berusia antara tiga hingga 15 tahun mengalami kecederaan antara lima hingga 70 peratus.
Menurut beliau, turut terbakar sepenuhnya sebuah motosikal.
“Pemadaman kebakaran dilakukan dengan menggunakan tiga pancutan sumber air dari jentera tangki bomba.
“Operasi terkawal pada pukul 2.04 pagi dan tamat sepenuhnya pada pukul 3.56 pagi,” katanya. –UTUSAN









