Kama Zuhair tunjuk bakat dengan Renjana - Utusan Malaysia

Kama Zuhair tunjuk bakat dengan Renjana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIdak pernah diduga minat yang berputik sejak di bangku sekolah akan membawanya melangkah ke dalam bidang seni suara dengan lebih serius.

Namun, jejaka kelahiran Kelantan yang mempertaruhkan single, Renjana ini masih belum bersedia untuk menjadikan nyanyian sebagai kerjaya tetap.

Bagi Kama Zuhair, 27, atau nama sebenarnya, Kamarul Zuhair Che Kamarul Wzaman, buat masa ini, dia lebih fokus terhadap kerjaya hakikinya iaitu sebagai pengurus stesen minyak.

Ujarnya, pekerjaan itu lebih diutamakan kerana dia mempunyai tanggungjawab besar yang menuntut seluruh perhatiannya.

“Namun, saya juga mempunyai impian untuk menjadi penyanyi yang bagus suatu hari nanti. Saya berharap impian itu akan tercapai,” katanya.

Bercerita mengenai permulaan langkahnya sebagai penyanyi, Kama Zuhair berkata, minatnya terhadap nyanyian bertunas sejak dari sekolah rendah apabila kerap menyertai pertandingan, malah pernah menjadi juara di peringkat sekolah, selain mewakili daerah.

“Antara pertandingan yang saya pernah sertai adalah pertandingan nyanyian nasyid, dikir barat dan puisi.

“Sokongan keluarga mendorong saya untuk menonjolkan bakat. Itu juga cara untuk meningkatkan keyakinan diri di depan orang ramai ketika membuat persembahan,” katanya.

Bercakap mengenai single perdananya yang menemui peminat sejak 24 Jun lalu, Zuhair memberitahu, lagu ciptaan Oja (Gegar Vaganza 7) ini mengisahkan tentang rasa hati yang kuat seperti rindu, cinta dan keinginan.

“Walaupun lagu ini bukan ciptaan sendiri, ia berkait rapat dengan kehidupan saya. Lagu Renjana disiapkan pada 9 Mac lalu dan kini boleh didengari di semua platform digital.

“Video muzik pula telah dikeluarkan pada 22 Ogos lalu dan saya berharap peminat akan memberikan sokongan untuk lagu ini mendapat tempat di stesen radio,” katanya.

Memandangkan dia masih baharu, Zuhair agak bimbang kerana belum mempunyai pengaruh yang kuat di media sosial untuk menarik perhatian ramai.

Namun, dia memilih untuk menggunakan pendekatan seperti menuntut ilmu dan mempunyai hubungan baik dengan mereka yang lebih berpengalaman dalam industri.

“Mungkin orang lain akan cakap pendekatan saya itu cara lama. Tetapi, saya percaya ia adalah ‘formula’ untuk bertahan dan berkembang dengan baik dalam industri hiburan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya