Jurang besar pembayaran tanpa tunai bandar dan luar bandar - PM

Jurang besar pembayaran tanpa tunai bandar dan luar bandar – PM

ISMAIL SABRI Yaakob (tiga dari kiri) diiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua dari kiri) melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Dataran Kerayong di Bera,  Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Wujud jurang besar dalam pembayaran tanpa tunai antara kawasan bandar dan luar bandar khususnya sektor peruncitan yang melibatkan peniaga kecil serta penjaja,  kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Perdana Menteri berkata, atas sebab itu,  kerajaan akan memastikan agenda digitalisasi ditumpukan di semua peringkat termasuk luar bandar.

“Memang menjadi hasrat kerajaan, mereka yang berada di luar bandar juga tidak terkeluar daripada arus kepesatan ekonomi digital sejajar semangat Keluarga Malaysia, tiada siapa yang dibiarkan terpinggir.

“Kerajaan terus memastikan agenda digitalisasi menjadi tumpuan utama di semua peringkat termasuk memperluas kaedah pembayaran secara elektronik ke seluruh pelosok negara,” katanya ketika berucap melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Kebangsaan dan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di Dataran Kerayong, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, urus niaga secara dalam talian menjadi satu norma baharu, bahkan pembayaran tanpa tunai yang menjadi pemangkin ekonomi digital negara, diunjur menyumbang 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Beliau berkata, berdasarkan Payment Network Malaysia (PayNet) Digital Payment Insight Study 2022, peratusan rakyat Malaysia menggunakan wang tunai untuk tujuan pembayaran menurun 11 peratus kepada 78 peratus berbanding 89 peratus sebelum pandemik Covid-19.

Menurutnya, bagi menggalakkan pembayaran tanpa tunai melalui e-dompet di bawah Bajet 2022, sebanyak RM300 juta diperuntukkan di bawah inisiatif ePemula yang memberi manfaat sekitar dua juta belia di seluruh negara.

“Pemberian kredit e-tunai RM150 kepada belia yang berkelayakan dilihat turut memanfaatkan golongan peniaga dan penjaja sekiranya mereka telah bersedia menerima ekonomi digital,” katanya.

Menerusi program ReDi, Perdana Menteri berkata, kerajaan yakin peralihan kepada kaedah pembayaran elektronik seperti penggunaan e-dompet bukan sahaja mudah, cepat dan selamat tetapi membantu peniaga mengurus perniagaan mereka dengan lebih baik dan efisien.

Menurutnya, inisiatif ReDI program berimpak tinggi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi memastikan agenda digitalisasi khususnya penggunaan e-dompet dalam kalangan para pengguna dan peniaga diperluas ke kawasan luar bandar.

“Bagi menggalakkan pembayaran tanpa tunai ini, kerajaan menawarkan inisiatif e-voucher Program Jualan Malaysia dengan peruntukan RM2 juta bermula 30 Ogos ini hingga 31 Disember ini dan e-voucher boleh dimuat turun melalui aplikasi MySales Tracker Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi mula memberikan hasil yang positif apabila kenaikan harga lebih terkawal dengan jaminan rantaian bekalan makanan dan barangan lebih meyakinkan terutama ayam dan minyak masak dalam botol.

“Bagi membantu rakyat, kerajaan akan memperluas dan menjenamakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) kepada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) melibatkan 600 buah kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh negara dan 13 buah kawasan Parlimen,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya