Jumlah pengundi baru 21.1 juta - Utusan Malaysia

Jumlah pengundi baru 21.1 juta

PEMILIH berdaftar terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah seramai 21,113,234 orang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemilih berdaftar terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah seramai 21,113,234 orang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, rekod adalah berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 pada 16 Jun lalu.

Daripada jumlah tersebut, jelasnya, seramai 1,141,749 orang iaitu 5.4 peratus adalah pemilih berusia 18 hingga 20 tahun manakala baki 19,971,485 orang atau 94.6 peratus ialah pemilih 21 tahun dan ke atas.

“Susulan penguatkuasaan had umur pemilih daripada usia 21 kepada 18 tahun pada 15 Disember 2021, sudah menyaksikan pertambahan ketara pemilih seramai 5.8 juta orang yang mana 1.2 juta orang adalah terdiri daripada golongan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun.

“Pertambahan pengundi dalam kalangan generasi muda adalah wajar dan mustahak bagi kerajaan untuk memastikan golongan ini bersedia dari aspek pengetahuan dan pemupukan nilai dalam membentuk negara bangsa terutama hak mengundi sebagai rakyat Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) meminta kerajaan menyatakan bilangan pengundi muda dan apakah langkah kerajaan bagi meningkatkan kesedaran mengenai demokrasi berparlimen khususnya dalam memilih pemimpin berwibawa, khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, Akademi Pilihan Raya (APR) melalui kerjasama pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, pertubuhan, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah mempergiat pelaksanaan Program Pendidikan Pengundi khususnya kepada golongan anak muda.

Katanya, ia termasuk di peringkat institusi pengajian tinggi, masyarakat dan komuniti, acara kementerian atau jabatan dan pentauliahan kepada golongan pendidik atau mahasiswa untuk memberikan pendidikan dan kefahaman mengenai proses pilihan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya