Johor diminta tubuh jawatan kuasa khas tangani krisis iklim

Johor diminta tubuh jawatan kuasa khas tangani krisis iklim

KERATAN akhbar Utusan Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri disaran menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Menangani Krisis Iklim dan Bencana Banjir susulan banjir kilat yang berlaku semalam.  

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, jawatan kuasa khas itu perlu ditubuhkan untuk mengkaji langkah terbaik mendepani krisis iklim. 

“Situasi banjir kilat ini bukan sahaja berlaku di kawasan Johor Bahru, malah menjejaskan kawasan sekitar termasuk Puteri Wangsa, Kempas dan Pasir Gudang yang mengakibatkan kerosakan harta benda dan urusan harian penduduk tergendala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam, lebih 500 kenderaan terjejas akibat banjir kilat yang melanda di sekitar bandar raya ini pada pukul 1.30 petang ekoran hujan lebat lebih sejam.

Kira-kira 150 kenderaan di kawasan tempat letak kereta berbayar di Jalan Ayer Molek juga ditenggalami air.

Selain Jalan Ayer Molek, banjir kilat turut berlaku di Jalan Yahya Awal, Jalan Mahmoodiah, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Kolam Ayer, Jalan Tun Abdul Razak dan Kampung Mohd. Amin. 

AMIRA AISYA ABD. AZIZ

Amira Aisya yang juga Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata, pakar dalam bidang alam sekitar, kumpulan sains dan panel yang berpengalaman luas dalam perancangan bandar perlu dilantik menganggotai jawatan kuasa tersebut.

Katanya, bagi memastikan kelancaran kerja-kerja pembersihan dilakukan, kerajaan negeri perlu menambah peruntukan khas untuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Kerajaan negeri perlu bersiap sedia dari awal setelah banjir kilat di Johor Bahru hanya menunggu hujan lebat dalam tempoh satu jam sahaja.

“Hal ini yang sangat membimbangkan. Maka, saya gesa kerajaan negeri untuk mengambil sikap proaktif dan bersiap sedia dari awal untuk menghadapi krisis iklim ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN