Jenazah pelajar Malaysia lemas selamat dikebumi di Mesir

Jenazah pelajar Malaysia lemas selamat dikebumi di Mesir

AHMAD Yakob mengimamkan solat jenazah Allahyarham Muhammad Firdaus Ab. Rais di Mesir semalam. - Ihsan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jenazah seorang penuntut Malaysia, Muhammad Firdaus Ab. Rais yang meninggal dunia akibat lemas ketika mandi sungai di Mesir, selamat dikebumikan semalam.

Menurut hantaran Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah menerusi laman sosialnya, pelajar Universiti Al-Azhar itu disemadikan di Tanah Perkuburan Malaysia di Bilbies, Zawamil, Syarqiyah.

“Solat jenazah disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang secara kebetulan berada di Mesir atas urusan lawatan rasmi,” kata pejabat misi diplomatik itu.

Allahyarham Muhammad Firdaus, 25, lemas ketika mandi di sungai dekat Empangan Qanathir Khairiyah dalam aktiviti perkelahan bersama-sama dengan 10 rakannya lain pada Jumaat lalu.

Mayat pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 3 pagi waktu Mesir (10 pagi waktu Malaysia) Sabtu.

Mangsa yang kembali ke Mesir dengan isterinya, Siti Hajar Hassan, 22, bagi menyambung pelajaran setelah berkahwin akhir tahun lalu dijangka menamatkan pengajian Oktober ini.

Turut terkorban dalam insiden tersebut ialah seorang lagi pelajar warganegara asing dari institusi pengajian tinggi yang sama dan berasal dari wilayah Pattani, di selatan Thailand.

Mengulas lanjut, pihak Kedutaan Besar Malaysia mengucapkan terima kasih atas kerjasama pelbagai pihak yang terlibat sama dalam isu pengurusan jenazah Allahyarham Muhammad Firdaus.

“Beliau telah pun selamat dikebumikan pada pukul 5.50 petang waktu Mesir (11.50 malam waktu Malaysia) semalam,” jelasnya yang turut memuat naik beberapa foto di laman sosial tersebut.

Dalam pada itu, ibu mangsa, Siti Azlina Mohamad Asri, 46, ketika ditemui media di rumahnya di Kubang Kerian semalam berkata, arwah adalah anak sulung daripada tujuh beradik.

Wanita itu dan suaminya dijangka berlepas ke Mesir untuk menziarahi pusara anak mereka yang disifatkan sebagai peramah dan sentiasa memaklumkan orang tua jika pergi ke mana-mana.

Bagaimanapun ujar beliau, arwah tidak memberitahu dirinya yang dia hendak berkelah pada hari kejadian sebelum dimaklumkan keluarga mentua mengenai kes lemas tersebut pada Jumaat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya