Jenazah jurulatih penerbangan dikebumi di Semenyih

Jenazah jurulatih penerbangan dikebumi di Semenyih

VAN jenazah yang membawa jenazah Allahyarham Fajim Juffa Mustafa Kamal meninggalkan HRPB Ipoh, Perak petang ini ke Semenyih, Selangor untuk pengebumian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jenazah jurulatih penerbangan, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, yang maut dalam kejadian pesawat ringan terhempas di Jalan Sultan Nazrin Shah   Medan Gopeng di sini malam tadi dikebumikan di Semenyih, Selangor.

Jenazah Allahyarham telah selesai bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini sebentar tadi.

Van jenazah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jenazah Allahyarham meninggalkan HRPB pada pukul 2.45 petang setelah jenazah siap dikapan dan disolatkan.

Bapa saudara Allahyarham yang dikenali sebagai Radzi, 57, memberitahu, jenazah dibawa ke Surau Al-Kauthar Bandar Tasik Kesuma, Semenyih sebelum dikebumikan.

Menurut beliau, jenazah dibawa ke sana untuk disolatkan selain memberi ruang kepada ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai memberi penghormatan terakhir.

“Jenazah akan disolatkan di Surau Al-Kauthar Bandar Tasik Kesuma, berhampiran rumahnya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran,” katanya.

Fajim Juffa yang merupakan Jurulatih Penerbangan Bats Aviation Sdn Bhd, meninggal dunia selepas pesawat ringan Piper-28 yang dinaikinya terhempas di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng sekitar pukul 8 malam semalam.

Seorang lagi rakannya yang juga ketua jurulatih penerbangan Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dihantar ke HRPB bagi menerima rawatan dan dilaporkan berada di dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Syarikat Penerbangan Bats Aviation Sdn. Bhd. (Bats Aviation) dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, mangsa sempat melaporkan kecemasan pada pukul 8.07 malam sebelum terputus hubungan selepas itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN