Jambatan gantung ganti titian saluran paip - Utusan Malaysia

Jambatan gantung ganti titian saluran paip

SALURAN paip yang digunakan penduduk kampung semasa paras air sungai naik di Kampung Mansiang Baru, Keningau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pembinaan jambatan gantung di Kampung Mansiang Baru, Keningau telah diluluskan dan hanya menunggu proses pelaksanaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Flovia Ng berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah meluluskan peruntukan dan pembinaannya akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Sememangnya rancangan membina jambatan gantung Kampung Mansiang Baru ini berada dalam senarai projek yang akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian susulan video tular sekumpulan murid sekolah meniti saluran paip untuk menyeberang Sungai Biah di Kampung Mansiang Baru, Keningau.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid, Casmir Silip berkata, pembinaan jambatan gantung kira-kira 70 meter panjang itu dijangka mula dibina pada minggu ini.

Casmir berkata, peruntukan telah tersedia, sekarang hanya menunggu proses cabutan tender bagi membolehkan pembinaan jambatan itu dilakukan segera.

Katanya, diharap kontraktor dilantik akan melaksanakan kerja-kerja pembinaan dengan baik demi memudahkan masyarakat di kampung berkenaan.

Kampung Mansiang Baru menempatkan 30 buah rumah yang mempunyai kira-kira 160 orang penduduk termasuk 20 pelajar dan murid sekolah.

Mengulas lanjut katanya, memang terdapat keperluan untuk membina jambatan konkrit sebagai laluan kenderaan di kampung tersebut.

“Sebelum ini, kami telah mengadakan lawatan bersama pegawai daerah dan kita akan majukan permohonan membina jambatan konkrit itu kepada pihak berwajib.

“Difahamkan bukan penduduk kampung sahaja menggunakan laluan itu, pengusaha ladang kelapa sawit turut menyeberangi sungai berkenaan bagi melawat ladang mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya