Isu sampah berlarutan di Kuala Perlis

Isu sampah berlarutan di Kuala Perlis

KEADAAN sisa sampah yang tersangkut di tebing kawasan persisiran laut yang tidak terurus dan mencacatkan pemandangan di sekitar Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis, semalam. – FOTO/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Isu sampah di persisiran laut berhampiran Kampung Seberang Pi, Kuala Perlis di sini dilihat masih berlarutan sekali gus mencemarkan kawasan ber­kenaan sebagai salah satu lokasi pelancongan popular di Perlis.

Malah isu berkenaan juga me­narik perhatian pengunjung luar apabila tular satu klip video yang dimuat naik oleh seorang pempengaruh dari luar negara baru-baru ini yang memaparkan keadaan sampah tidak terurus di sekitar kawasan tebing persisiran laut di kampung itu.

Utusan Malaysia yang membuat tinjauan semula di situ mendapati masih terdapat sisa sampah seperti plastik, tin, botol dan beberapa bahan buangan lain tidak diuruskan dengan sebaik­nya dan mencacatkan pemandangan kawasan persekitaran di sana.

Malah, keadaan itu turut mendorong kepada masalah pencemaran bau yang menimbulkan rasa kurang senang pengunjung luar dan penduduk setempat.

Seorang penduduk dikenali sebagai Goh, 69, berkata, sampah-sampah yang terdapat di kawasan tebing persisiran laut itu adalah berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pi­­hak yang tidak cakna dengan as­pek pemeliharaan alam sekitar.

“Memang ada pihak-pihak tertentu di sini yang ambil kesempatan dengan membuang sampah secara sesuka hati ke dalam laut tanpa mengambil kira tentang penjagaan alam sekitar. Dan bila berlakunya situasi air pasang, sampah-sampah itu akan diha­nyutkan dan tersangkut di tebing laut di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Azizan Sulaiman ketika dihubungi mengakui isu tersebut berlarutan disebabkan tindakan segelintir penduduk yang membuang sampah terus ke bawah rumah secara sesuka hati walaupun terdapat kemudahan tong sampah.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sampah dihanyutkan sewaktu air pasang dan kemudian tersangkut pada tebing sekitar kawasan ber­kenaan.

“Berikutan masalah itu, kita telah berjumpa dengan Jawatan­kuasa Pembangunan dan Kese­lamatan Kampung (JPKK) bagi meminta komuniti di situ untuk sama-sama bantu supaya mereka tidak buang sampah ke bawah rumah,” katanya.

Bagi tindakan jangka masa pendek, Azizan berkata, kerajaan negeri bersama beberapa agensi berkaitan dan 200 penuntut institusi pengajian tinggi awam bergotong-royong membersihkan kawasan persisiran laut dan tebing di kampung itu pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, dianggarkan hampir 900 kilogram sampah berjaya dikutip dalam operasi pembersihan berkenaan yang turut dijalankan di beberapa lokasi lain sekitar Kuala Perlis.

“Kita juga akan memasang perangkap sampah di kawasan itu dengan disusuli beberapa tindakan lain bagi mengatasi isu berkenaan daripada berlarutan.

“Namun, apa yang lebih utama adalah masyarakat di sana sendiri perlu bantu untuk bersama-sama tidak membuang sampah sesuka hati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN