PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan wujudnya desakan dalaman UMNO untuk memecat beliau sebagai Naib Presiden sekiranya tidak menunaikan permintaan parti segera membubarkan Parlimen.
Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak ditimbul dan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) baru-baru ini.
Malah, Ahli Parlimen Bera itu berkata, perjalanan mesyuarat berkenaan berlangsung dalam suasana mesra dan orang luar hanya melihat dari sudut berbeza berbanding apa yang berlaku di dalam parti itu.
“Tidak ada (isu pemecatan) bincang dalam mesyuarat MKT suasana mesra tiada isu, kadangkala orang luar melihat lain daripada apa yang berlaku di dalam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (atau MAPPA) Ke-18, di sini hari ini.

ISMAIL Sabri Yaakob ketika Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (atau MAPPA) yang Ke-18, di Putrajaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Pada 27 Ogos lalu, Ismail Sabri hadir pada mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn.
Sebelum mesyuarat berkenaan, UMNO terus bertegas agar Perdana Menteri segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan yang dibangkitkan pada Majlis Taklimat Khas Presiden UMNO.
Laungan bubar itu bermula apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, MKT telah memberikan panduan kepada Ismail Sabri bagi menetapkan tarikh pembubaran parlimen.
Sementara itu, Ismail berkata perbezaan pandangan di dalam parti adalah perkara biasa.
“Itu diraikan,” katanya ringkas. – UTUSAN