PETALING JAYA: Kemerdekaan di negara ini perlu diisi dengan acuan Islam bagi mewujudkan bangsa yang hebat dan berjaya.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, erti kemerdekaan sebenar adalah perjuangan membebaskan pemikiran umat daripada pengaruh ajaran dan budaya negatif yang merosakkan selama ini.
Katanya, Islam membawa mesej kesejahteraan kepada seluruh manusia tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama.
“Prinsip tiada paksaan dalam beragama dan adil untuk semua menjadi prinsip teras untuk mengisi kemerdekaan dalam kehidupan bermasyarakat madani.
“Atas dasar tersebut, kita mesti teguh bersama-sama dalam memperkasa Islam supaya kelak konsep Islam memimpin benar-benar dapat dicapai sekali gus menghasilkan kemerdekaan yang menonjolkan rahmat Islam untuk seluruh masyarakat majmuk di negara tercinta ini,” katanya dalam perutusan Hari Kebangsaan 2022 hari ini.
Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, agenda itu perlu digerakkan semua pihak dengan bersungguh-sungguh bagi membuktikan Islam menerima segala yang positif daripada semua bangsa di negara ini untuk membina Malaysia prihatin, berintegriti dan sejahtera.
Katanya, sejarah kemerdekaan bermula dengan perjuangan menentang para penjajah yang datang ke tanah air pada 1511 dan sepanjang tempoh itu, umat Islam tidak pernah sekali-kali menyerah kalah.
Menurutnya, penjajah yang datang bukan sahaja menakluk negara, malah memperhamba rakyat, mengangkut hasil bumi dan merosakkan pemikiran masyarakat.
“Oleh itu, kita mesti memahami erti kemerdekaan daripada sudut kefahaman yang betul dan gambaran besar, bukan sekadar memahami kemerdekaan yang penjajah sudah pulang ke bumi mereka,” katanya. – UTUSAN