IKHLAS perluas rangkaian aplikasi digital ke Pulau Pinang

IKHLAS perluas rangkaian aplikasi digital ke Pulau Pinang

IKHLAS Kamarudin menunjukkan platform aplikasi online IKHLAS dalam sidang akhbar mengenai aplikasi itu di George Town, Pulau Pinang semalam. - FOTO/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Cabang perniagaan mesra Muslim di bawah Capital A yang dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group  memperluaskan rangkaian aplikasi digitalnya di Pulau Pinang menerusi platform IKHLAS.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ikhlas Kamarudin berkata, antara ciri baharu yang akan diperkenalkan menerusi platform IKHLAS itu ialah sektor  pengurusan asnaf yang akan dikendalikan oleh pengurusan masjid-masjid terpilih di Pulau Pinang.

“Menerusi perjumpaan kami bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak semalam, kami telah mencadangkan kepada beliau untuk membina satu platform digital pengurusan asnaf di negeri ini dan beliau bersetuju dengan cadangan ini.

“Kami telah mempunyai platform digital sedia ada iaitu IKHLAS yang telah digunakan lebih 30 buah masjid di Kuala Lumpur dan Selangor, jadi kami akan tambah baik ciri-ciri yang ada bagi membolehkannya dapat membantu pengurusan asnaf di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Terdahulu, IKHLAS mengadakan perjumpaan dengan Ahmad Fuzi bagi membincangkan mengenai program-program pengimarahan masjid dan lain-lain aktiviti di Pulau Pinang yang bakal dilaksanakan pihaknya.

Menurut Ikhlas, buat permulaan sebanyak 10 buah masjid di Pulau Pinang dicadangkan menjadi masjid perintis yang menggunakan platform digital IKHLAS itu.

Jelas beliau, sebanyak 10 buah masjid di Pulau Pinang itu akan menjadi Sahabat IKHLAS dan projek perintis tersebut dijangka dimulakan sebelum akhir tahun ini.

“Antara kebaikan platform digital ini ialah pihak pengurusan masjid akan lebih mudah menjejaki golongan asnaf di kawasan kariah masing-masing.

“Sekiranya mereka tidak lagi menjadi asnaf pihak masjid hanya boleh merujuk maklumat menerusi platform ini,” katanya.

Tambah beliau, ciri-ciri pengurusan asnaf itu akan mengukuhkan lagi jenama IKHLAS sebagai sebuah platform yang lancar dan mudah diakses oleh komuniti beragama Islam di negara ini dan serantau.

“Selepas Pulau Pinang, kami bercadang  meluaskan rangkaian platform digital IKHLAS ini ke seluruh negara malah sehingga ke Indonesia,” katanya.

Aplikasi IKHLAS diperkenalkan sejak tahun lalu dan menawarkan ciri-ciri seperti maklumat dan notifikasi waktu solat; kompas Kiblat; platform e-dagang ‘Shop with IKHLAS’; bayaran untuk perkhidmatan sedekah, fidyah, zakat, akikah dan korban.

Aplikasi mudah alih IKHLAS itu kini boleh dimuat turun melalui Apple App Store atau Google Play Store. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya