KUALA KRAI: Seorang ibu dari Kampung Stong, Dabong di sini, cekal menguruskan anak kelimanya yang disahkan menghidap penyakit Sindrom Nefrotik sejak berusia lima tahun.
Lebih meruntun jiwa, Suhada Hamzah, 39, terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga apabila suami Mohd. Rosdi Ismail, 55, hilang upaya untuk bekerja akibat serangan penyakit saraf selepas terbabit kemalangan jalan raya dan terjatuh dari pokok sejak 2018.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Suhada berkata, Siti Aufa, 10, mula dikesan menghidap penyakit berkenaan ketika berusia lima tahun apabila mula menunjukkan tanda-tanda seperti muka bengkak serta air kencing berbuih.
Menurutnya, sejak itu Siti Aufa terpaksa bergantung kepada lima jenis ubat termasuk ubat darah tinggi yang perlu diambil setiap hari.
“Walaupun penyakit yang berlaku kepada kira-kira dua hingga 15 orang bagi setiap 100,000 kanak-kanak setiap tahun itu sukar untuk dipulihkan, kami tetap berikhtiar dan mengharapkan keajaiban berlaku.
“Saya sentiasa mengawasi keadaan Siti Aufa kerana dia kerap sakit perut dan muntah sekiranya makan berlebihan serta mengalami sesak nafas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam selepas menerima kunjungan Cempaka Merah Asnaf Society, diwakili Nor Liyana Stofar yang turut menyampaikan sumbangan zakat dan barangan keperluan dapur.
Suhada memberitahu, dia turut diuji apabila anak bongsunya, Siti Fatimah, 11 bulan mengalami masalah sumbing.
Katanya, Siti Fatimah sepatutnya menjalani pembedahan pada pertengahan Julai lalu namun terpaksa ditunda dan berharap ia dapat disegerakan.
“Fatimah kini hanya bergantung sepenuhnya kepada susu kerana setiap kali disuap makanan yang pejal, ia akan keluar semula melalui hidung.
“Selain itu, Fatimah juga mengalami masalah kelewatan tumbesaran (GDD) dan masih tidak mampu duduk sendiri mahupun merangkak,” ujar ibu kepada lapan orang anak itu.
Suhada berkata, mereka sekeluarga kini bergantung kepada hasil menjual anak pokok durian.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Suhada Hamzah (03020-41-00012554-3) atau menghubungi talian 017-2408267. -UTUSAN










