Ibu harap keajaiban anak sakit paru-paru sembuh

Ibu harap keajaiban anak hidap ketumbuhan dalam paru-paru sembuh

FAIZA Abd. Rashid menemani Muhammad Zarul Haikal Zaidi yang menghidap ketumbuhan dalam paru-paru di Taman Pertang, Kuala Berang, Hulu Terengganu. – FOTO/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang ibu mengharapkan keajaiban agar anaknya yang menghidap ketumbuhan dalam paru-paru kembali sihat sekali gus dapat melangkah ke alam pekerjaan dan meneruskan kehidupan seperti insan lain.

Faiza Abd. Rashid, 46, dari Taman Pertang, Kuala Berang, di sini, berkata, Muhammad Zarul Haikal Zaidi, 22, yang merupakan bekas penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun dekat sini dikesan mengalami penyakit itu sejak sebulan lalu.

Menurutnya, anak kedua dari empat beradik yang dijadualkan ke majlis konvokesyen pertengahan September depan kini hanya mampu berehat di rumah dan berulang-alik ke hospital jalani pemeriksaan serta rawatan.

“Sebelum ini Haikal sering demam serta mudah letih sehinggalah suatu hari dia pengsan dan bawanya ke hospital. Ibu mana tidak terkejut apabila doktor memaklumkan ada ketumbuhan dalam paru-parunya dan kini berukuran 17 x 13 sentimeter.

“Sepanjang tempoh sebulan ini sudah dua kali dia dimasuk­kan ke hospital. Selain berat badannya yang kian susut, peti suaranya juga terganggu sehingga suaranya turut berubah dan dia juga tidak boleh lagi berba­ring normal seperti orang lain.

“Dia hanya mampu tidur menyandar bagi lancarkan pernafasan. Sekitar pukul 2 hingga 4 pagi pula dia akan terjaga ke­rana sa­kit di bahagian leher serta bahu dan perlu diurut bagi legakannya,” katanya ketika ditemui.

Tambah Faiza, dia dan suami, Zaidi Ngah, 59, yang bekerja sebagai pemandu kenderaan di Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) tidak putus berdoa agar anaknya itu kembali sihat seperti sedia kala.

Katanya lagi, sebagai ibu bapa mereka ingin melihat anaknya itu dapat melangkah sendiri ke atas pentas pada majlis konvokesyen bagi menerima skrol Diploma Kejuruteraan Mekanikal Automatif setelah berjaya menamatkan pengajian awal tahun ini.

“Hari ini juga perlu ke hospital bagi tujuan pengambilan sampel tisu untuk mengetahui lebih terperinci tentang kesihatannya.

“Besar harapan saya agar dia kembali sihat dan dapat melangkah ke alam pekerjaan sebenar. Sebelum alami masalah kesihatan, Haikal menimba pengalaman bekerja sementara di bengkel sekitar Dungun serta Kuala Berang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN