GEORGETOWN: Hubungan yang mesra antara ibu dan anak angkat berbeza agama, Chee Hoi Lan, 84, atau dipanggil ‘Laoshi’ oleh anak angkatnya, Rohana Abdullah, 22, perlu dihayati semua pihak sebagai menghayati semangat Keluarga Malaysia.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, kedua-dua ibu dan anak angkat itu berjaya menonjolkan sifat mulia yang wajar diteladani setiap orang.
Katanya, ia membuktikan perbezaan keturunan dan agama tidak menghalang hubungan yang baik dan mesra antara sesama manusia.
”Saya amat tersentuh membaca berita dan melihat gambar seorang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) mengesat air mata kerana terpaksa berpisah dengan ibu angkat yang memeliharanya sejak kecil.
”Pada pandangan saya, hubungan yang begitu mesra di antara ibu dan anak angkat berbeza agama ini memaparkan satu situasi unik dan amat bermakna untuk dijadikan bahan renungan semua pihak sebagai menghayati semangat Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rohana merupakan antara 660 pelajar diploma daripada lima kursus ditawarkan UTeM yang mula berdaftar di Kompleks Dewan Kuliah Kampus Induk UTeM, semalam.
Sebelum ini, kisah Rohana tular dalam media sosial susulan dia dibesarkan oleh ibu angkat berlainan agama sejak berusia dua bulan selepas ditinggalkan oleh ibunya warga Indonesia.
Gadis itu bagaimanapun gagal menyambung pelajaran ke universiti kerana tidak mempunyai kad pengenalan dan kesulitan dihadapi dua beranak itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Wan Salim, lebih mengkagumkan apabila diketahui Laoshi membesarkan Rohana tanpa menukar agamanya, malah beliau telah mendidiknya secara Islam seperti memastikan anak angkatnya sentiasa menunaikan solat dan berpuasa.
”Agama Islam memang menghendaki hubungan antara ibu bapa dan anak-anak dikekalkan walaupun mereka berbeza agama. Agama Islam juga menghendaki hubungan kekeluargaan mesti diteruskan dalam apa jua keadaan dan tidak harus diputuskan atas dasar kelainan agama,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, hubungan baik antara ibu dan anak itu juga pernah beliau sarankan dalam kes ibu dan anak-anak mualaf yang menjadi perhatian umum di Malaysia beberapa bulan lalu.
”Demi mengekalkan hubungan yang baik dan mesra antara seorang anak dengan ibu bapa, maka Islam mewajibkan anak-anak mentaati ibu bapa selagi tidak disuruh syirik kepada Allah SWT dan melakukan maksiat,” katanya. – UTUSAN