HSA turut terjejas akibat banjir kilat

HSA turut terjejas akibat banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hujan lebat di kawasan pusat bandar Johor Bahru turut menjejaskan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, selepas beberapa kemudahannya ditenggelami air.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, kebanyakan kawasan yang terjejas melibatkan aras satu dan pejabat di aras bawah tanah.

Katanya, banjir kilat berkenaan turut menenggelamkan kawasan letak kenderaan sehingga menyebabkan beberapa kenderaan mengalami kerosakan.

“Kemudahan di bahagian pesakit luar hospital di tingkat bawah, termasuk tandas turut dinaiki air dan pihak hospital telah mengepung kawasan itu. Kerja-kerja pembersihan akan dilakukan terlebih dahulu sebelum orang ramai dibenarkan menggunakannya semula.

“Tempat letak kereta hospital juga dinaiki air dan beberapa kereta yang tidak dapat keluar mengalami kerosakan sehingga perlu ditarik,” katanya selepas melakukan lawatan ke hospital berkenaan, di sini hari ini.

LING TIAN SOON (kanan) melihat laluan ke aras bawah tanah HSA yang dinaiki air akibat banjir kilat.

Hujan lebat sejak pukul 12.30 tengah hari itu turut menjejaskan beberapa lokasi lain, antaranya Jalan Yahya Awal, Jalan Ayer Molek dan Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan.

Dianggarkan lebih 500 buah kenderaan terjejas dalam banjir itu dengan kawasan tempat letak kenderaan di Jalan Ayer Molek berhampiran Wisma Persekutuan merupakan lokasi yang paling teruk terjejas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN