Hotel Negeri Sembilan tawarkan OKU, bekas pelatih Puspen kerja

Hotel Negeri Sembilan tawarkan OKU, bekas pelatih Puspen kerja

HAZIZ Hassan berucap dalam Majlis Makan Malam Tahunan MAH Negeri Sembilan 2022 di Port Dickson, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan sedang merancang  mengadakan kerjasama dengan beberapa pihak bagi mengatasi isu kekurangan pekerja dalam sektor perhotelan di negeri ini.

Pengerusinya, Haziz Hassan berkata, antara rancangan tersebut termasuklah dengan bersedia menggajikan pelatih yang kini berada di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dan golongan orang kurang upaya (OKU).

Jelas beliau, untuk tujuan tersebut pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selain akan berhasrat untuk bertemu dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

“Sektor perhotelan di negeri ini juga sedang menghadapi masalah kekurangan pekerja, oleh itu bagi mengatasinya, kami telah memulakan program dengan mencari klien yang akan dibebaskan dari pusat pemulihan, kita ambil mereka untuk bekerja di hotel-hotel seperti di bahagian landskap.

“Selain itu, kami juga berhasrat untuk mengadakan program dengan pihak jabatan pendidikan kerana mereka mempunyai sektor pendidikan khas. Kami akan buka peluang pekerjaan kepada golongan OKU ini terutamanya kerja-kerja yang tidak berbahaya, kami sangat mengalu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Makan Malam Tahunan MAH Negeri Sembilan 2022 di sini semalam.

Haziz juga berkata, pihaknya berharap rancangan tersebut dapat diuar-uarkan kerana ia juga dapat membantu golongan terbabit untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

“Sebenarnya ia bukanlah perkara baharu, sudah ada hotel yang mengambil pekerja dalam kalangan OKU dan juga mereka yang baharu dibebaskan dari pusat pemulihan.

“Pihak hotel tiada apa-apa diskriminasi dalam pengambilan pekerja, kami terbuka lagipun hotel-hotel termasuk di Negeri Sembilan memang kekurangan pekerja. Kami bersedia untuk mengambil pekerja secara sepenuh masa ataupun sambilan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 400 kakitangan daripada 20 hotel di negeri ini terlibat dalam majlis makan malam tersebut yang bertujuan merai dan membakar semangat selepas sektor perhotelan melalui waktu sukar selama beberapa tahun ekoran pandemik Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya