Himpunan protes skandal LCS esok

Himpunan protes skandal LCS esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu himpunan akan diadakan esok di ibu negara bagi mendesak kerajaan menyelesaikan segera siasatan berkait skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Himpunan sebagai tanda protes itu akan diadakan di hadapan pusat beli-belah SOGO, Jalan Tunku Abdul Rahman dekat sini, pada pukul 2 petang.

Penganjur menggelarkan diri mereka Jawatankuasa Protes Mana Kapal LCS? dalam kenyataan, menuntut kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala salah laku yang berlaku

Selain itu, penganjur turut menuntut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletak jawatan kerana didakwa culas dalam tugasnya dan gagal menjadi menteri yang telus.

“Setiap persoalan yang dikemukakan rakyat tidak dijawab dengan jujur dan semua tuntutan untuk membentangkan tentang skandal kapal LCS tidak dihiraukan. 

“Hishammuddin tidak menawarkan akauntabiliti kepada LCS maka beliau harus letak jawatan,” katanya.

Ketiga, penganjur menuntut kerajaan menjawab berhubung aduan dikemukakan bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar sebelum ini berhubung pelaksanaan projek kapal LCS terbabit.

Dalam laporan prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 27 Julai tahun lalu, Abdul Aziz memaklumkan beliau mengemukakan sekurang-kurangnya 10 surat teguran, surat tidak puas hati, surat untuk memaklumkan pendirian TLDM.

“Ia termasuk lima surat kepada Menteri Pertahanan, satu surat kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, satu surat kepada Ketua Setiausaha Negara dan turut mengutuskan dua surat kepada Perdana Menteri.

“Jika surat dari Panglima Tentera Laut ‘dibakulsampahkan’ oleh kerajaan, maka ia adalah gambaran kerajaan tidak mementingkan suara mereka yang mempertahakan keselamatan dan kedaulatan negara,” ujarnya.

Berikutan itu, penganjur menyeru semua pemimpin parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil masyarakat menyertai protes itu kerana ia bukan sahaja mencerminkan solidariti untuk rakyat tetapi menggambarkan budaya politik baharu yang mengangkat ketelusan serta integriti pentadbiran.

“Kami percaya bahawa ini satu-satunya jalan yang boleh diambil oleh rakyat. Rakyat berhak mendapatkan ketelusan dan akauntabiliti dari kerajaan.

“Ini bagi memastikan tidak ada lagi wang rakyat disamun dan tidak ada lagi pihak menjual keselamatan negara demi ketamakan terhadap wang ringgit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.