fbpx

Heerraa catat sejarah, menang dua trofi ICMA 2022 di AS

KUALA LUMPUR: Penyanyi asal Malaysia, Heerraa, 23, melakar sejarah tersendiri selepas dipilih sebagai penerima trofi Icon Award pada anugerah berprestij InterContinental Music Awards Competition (ICMA) 2022 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat, Ahad lalu.

Kemenangan itu melayakkan penuntut Universiti Harvard berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4,453 (AS$1000) dan sijil ICMA serta program bimbingan peribadi yang dikendalikan juri penganugerahan tersebut.

Selain trofi itu, Heerraa juga memenangi kategori Pop untuk Best North America.

Atas kemenangan trofi ICon Award, Heerraa telah diiktiraf barisan panel juri Hollywwod sebagai artis bertaraf antarabangsa.

Heerraa dalam kenyataan yang dikongsikan kepada pihak media berkata, dia terharu dan menganggap kemenangannya itu sebagai penghormatan yang cukup besar buat dirinya.

“Saya sangat terharu dan tidak menyangka semua ini akan berlaku. Saya amat bersyukur dengan peluang ini.

“Semua ini menjadi kenyataan kerana peminat dan orang kuat di belakang saya yang sentiasa menyokong misi saya untuk mengubah dunia dengan muzik sejak hari pertama memasuki bidang ini.

“Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya dan lagu. Saya tidak sabar untuk menerbitkan lebih banyak lagu yang dapat memberi impak positif kepada kehidupan anda pada masa akan datang,” katanya.

Penuntut jurusan Seni Liberal ini turut mendedikasikan kemenangannya itu buat program inkubator, ET Ideas yang disertainya sejak berusia 14 tahun.

Program tersebut telah memacu semangatnya dalam merealisasikan impian untuk bergelar artis bertaraf antarabangsa.

Lagu yang dicipta dan dinyanyikannya mula diputarkan di radio dan platform digital antarabangsa selepas kemenangan anugerah emas untuk kategori Penyanyi Wanita Terbaik (antarabangsa) yang diraihnya pada International Singer-Songwriters Association Awards (ISSA) di Atlanta sekitar musim panas lalu.

Heerraa yang juga penasihat dan pengasas bersama gerakan remaja antarabangsa, Ascendance pada tahun ini telah melahirkan enam lagu yang sudah mula diperdengarkan di semua platform penstriman.

ICMA yang meraikan ulang tahun ke 10 telah mengumumkan kesemua pemenang menerusi sebuah acara yang dianjurkan secara dalam talian.

Penganugerahan tersebut dinilai juri berkaliber, termasuk penerbit terkemuka yang sebelum ini menerbitkan lagu untuk bintang terkenal seperti Selena Gomez, Westlife, Celine Dion dan ramai lagi.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!