Hasilkan replika rumah guna barangan terpakai - Utusan Malaysia

Hasilkan replika rumah guna barangan terpakai

NORMA Che Noor bersama replika rumah yang dihasilkannya di rumahnya Kampung Warna Warni, Seberang Ramai, Kuala Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Minat yang mendalam dalam bidang pertukangan mendorong seorang warga emas menghasilkan replika rumah menggunakan barangan terpakai bagi dijadikan hasil seni yang cukup menarik.

Norma Che Noor, 63, berkata, dia mula menghasilkan replika berkenaan sejak 2017 dengan menggunakan barangan seperti kayu terpakai, batang ais krim dan beberapa peralatan lain yang dikutip di kawasan pesisir pantai di Kuala Perlis.

Menurutnya, reka bentuk replika rumah dihasilkan dengan kreativitinya tersendiri dan berpandukan kepada hasil kerja beberapa tukang rumah di kawasan kediamannya di sekitar Kampung Warna Warni, Seberang Ramai di sini.

“Saya suka tengok orang bertukang dan saya mula belajar sedikit demi sedikit sehinggakan mampu membina sendiri tandas di belakang rumah.

“Detik permulaan saya membina replika ini adalah apabila seorang kenalan meminta saya membina sebuah rumah bersaiz mini dan saya perlahan-lahan belajar menghasilkan seni tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Norma yang juga seorang suri rumah berkata, dia turut mengeluarkan sedikit wang sendiri untuk membeli beberapa kelengkapan lain bagi menyiapkan replika berkenaan.

Jelasnya, dia mengambil masa sekitar satu bulan bagi melengkapkan pembinaan sebuah replika rumah sepenuhnya.

“Selain replika rumah, saya turut menghasilkan replika dan hasil seni lain antaranya jambatan dan pintu gerbang untuk menghiasi kawasan pekarangan rumah agar kelihatan lebih ceria,” katanya.

Dalam pada itu, Norma berkata, dia juga tidak mengambil sebarang tempahan bagi menghasilkan replika rumah berkenaan buat masa ini disebabkan oleh kekangan masa dan perlu memberi tumpuan kepada ibunya yang sedang sakit.

Menurutnya, dia tidak berani untuk mengambil tempahan dengan jumlah banyak walaupun mendapat permintaan tinggi berikutan bimbang tidak mampu menyiapkannya dalam tempoh dikehendaki.

“Disebabkan itu saya tak berani ambil tempahan dan buat masa ini, saya hanya pernah menjual satu unit replika rumah berkenaan kepada seorang kenalan dengan harga RM1,000,” katanya.

Tambah Norma, suaminya, Rus Abdullah, 65, juga banyak memberi dorongan dan menyokong minatnya bagi menghasilkan replika rumah tersebut.

“Kalau nak diikutkan, jarang orang perempuan minat bertukang namun suami saya sentiasa menyokong kuat dan membantu bagi menyiapkan hasil replika rumah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya