Bekas Al-Maunah minta generasi muda Hargai erti kebebasan

Bekas Al-Maunah minta generasi muda Hargai erti kebebasan

al-maunah
KAMARUDIN Mustafar menyelimuti badannya dengan Jalur Gemilang sebagai menghargai nikmat kebebasan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pinang Merah, Dungun, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Generasi muda di negara ini diingatkan tidak terjebak dengan kumpulan pengganas yang boleh mengancam keamanan dan keselamatan negara.

Bekas ahli Al-Maunah yang dibebaskan awal, Kamarudin Mustafar, 62, berkata, golongan tersebut dibimbangi mudah terperdaya dengan kumpulan pengganas sekiranya diketuai oleh tokoh agama dan individu berpengaruh.

Katanya, penyertaan anak-anak muda dalam kumpulan tersebut boleh merosakkan masa depan mereka sekiranya ditahan kerana terlibat dengan kegiatan militan.

“Kalau ingin menyertai mana-mana pertubuhan, perlu siasat terlebih dahulu latar belakang pemimpinnya walaupun mempunyai perwatakan yang baik.

“Mungkin pemimpin terbabit menubuhkan kumpulan tersebut untuk tujuan menimbulkan suasana tidak aman di negara ini dengan membangkitkan isu agama dan perkauman yang melampau,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pinang Merah, di sini, semalam.

Kamarudin adalah antara 13 anggota Al-Maunah yang menjalani hukuman penjara selama 20 tahun dibebaskan setelah mendapat pengampunan Agong pada Ogos 2020.

Pengikut Al-Maunah ditahan kerana melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong dalam tragedi Bukit Jenalik, Sauk, Perak pada 1 Julai 2000.

Kamarudin yang kini bekerja sebagai tukang jahit dan urut fisioterapi berkata, golongan muda tanpa mengira bangsa dan agama perlu menghargai erti kebebasan dengan saling mempertahan negara demi masa depan mereka.

Sehubungan itu, katanya, mereka sepatutnya mempunyai semangat kecintaan yang tinggi kepada negara dan menjauhkan diri daripada kegiatan haram dan menyalahi undang-undang negara.

“Sempena bulan kemerdekaan pada tahun ini, seluruh rakyat Malaysia perlu menanam azam untuk memelihara keamanan negara dengan menolak semua bentuk kegiatan yang boleh merosakkan negara,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya